Eksport Malaysia Mac 2024 susut RM1 bilion, produk sawit catat penurunan tertinggi - DOSM | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia Mac 2024 susut RM1 bilion, produk sawit catat penurunan tertinggi - DOSM

Eksport Malaysia turun 0.8 peratus atau RM1 bilion kepada RM128.6 bilion pada Mac 2024. - Gambar hiasan MMC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 April - Eksport Malaysia turun secara marginal 0.8 peratus atau RM1.0 bilion kepada RM128.6 bilion manakala imbangan dagangan turun 52.0 peratus kepada RM12.8 bilion pada Mac 2024, berbanding setahun sebelumnya.

 

Eksport yang lebih rendah disumbangkan penurunan terutamanya ke Singapura (-RM1.4 bilion) diikuti Australia (-RM1.2 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.1 bilion), Jepun (-RM450.1 juta), Hong Kong (-RM446.3 juta), Mexico (-RM398.8 juta) dan China (-RM345.9 juta). 

 

Penurunan ini sejajar dengan kejatuhan minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM1.7 bilion); keluaran petroleum (-RM1.2 bilion); barangan elektrik & elektronik (-RM770.1 juta); dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (-RM449.1 juta).

 

 

 

 

mac

 

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, prestasi eksport Malaysia menurun pada Mac 2024 seiring dengan penurunan eksport semula 10.2 peratus kepada RM24.5 bilion. 

 

"Sebaliknya, eksport domestik bernilai RM104.2 bilion, menyumbang 81.0 peratus kepada jumlah eksport meningkat sebanyak 1.7 peratus berbanding Mac 2023," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eksport Malaysia Feb 2024 turun hampir RM1 bilion, P. Pinang, KL catat penyusutan terbesar - DOSM

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini menerbitkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Mac 2024.

 

Kata DOSM, keseluruhannya, prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Mac 2024, seiring dengan peningkatan dalam import, terutamanya didorong oleh barangan modal. 

 

"Jumlah dagangan menunjukkan peningkatan 5.1 peratus daripada RM232.6 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM244.5 bilion dipacu oleh kenaikan import 12.5 peratus, mencecah RM115.8 bilion," katanya. 
 

Sementara itu, perangkaan tersebut menunjukkan import bernilai RM115.8 bilion, meningkat 12.5 peratus. 

 

uzir
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

"Akibat daripada ini, lebihan dagangan menurun 52.0 peratus kepada RM12.8 bilion, lebihan bulan ke-47 berturut-turut sejak Mei 2020. 

 

"Perbandingan prestasi perdagangan dengan Februari 2024, eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 15.5 peratus, 15.7 peratus, 15.6 peratus dan 14.0 peratus,” kata DOSM.

 

Melihat dari sudut kumpulan barangan, 132 daripada 258 kumpulan eksport menunjukkan penurunan, namun 132 daripada 258 kumpulan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia menjelaskan import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya oleh Taiwan (+RM5.5 bilion) diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (+RM1.8 bilion), India (+RM1.7 bilion), China (+RM1.5 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.1 bilion), Singapura (+RM770.8 juta) dan Australia (+RM711.3 juta).

 

"Sementara itu, peningkatan import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM6.2 bilion); keluaran petroleum (+RM3.1 bilion); petroleum mentah (+RM1.8 bilion) dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.3 bilion).

 

Selanjutnya, Dr. Mohd Uzir berkata, pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan perantaraan dan barangan penggunaan. 

 

"Import barangan modal bernilai RM16.2 bilion, meningkat 66.2 peratus berbanding Mac 2023, mewakili 14.0 peratus daripada jumlah import. Barang perantaraan (51.2% daripada jumlah import), bernilai RM59.3 bilion, mencatatkan peningkatan 10.5 peratus atau RM5.6 bilion. 

 

"Barang penggunaan (8.1% daripada jumlah import), meningkat 1.2 peratus daripada RM9.3 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.4 bilion,” jelasnya.

 

Sementara itu, kata beliau, prestasi bagi suku tahun pertama 2024, jumlah dagangan, eksport dan import meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

 

"Prestasi ekonomi yang menggalakkan mendorong kepada peningkatan 7.1 peratus dalam jumlah dagangan, sejajar dengan peningkatan dalam eksport (+2.2%) dan import (+13.1%).

 

"Sebaliknya, lebihan dagangan berjumlah RM34.2 bilion, turun 46.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023," ujar Ketua Perangkawan itu.- DagangNews.com