DE-CIX Malaysia, Digital Penang bekerjasama perkasa infrastruktur kesalinghubungan | DagangNews Skip to main content

DE-CIX Malaysia, Digital Penang bekerjasama perkasa infrastruktur kesalinghubungan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - DE-CIX Malaysia bekerjasama buat julung kalinya dengan Digital Penang untuk menubuhkan Penang Internet Exchange (PIX) yang dikuasakan oleh DE-CIX bagi memperkasakan infrastruktur kesalinghubungan di Pulau Pinang dan melonjakkan keupayaan digital rantau ini ke tahap baharu melalui rangkaian Internet yang lebih pantas, teguh dan berpatutan.

 

Ahli Lembaga Pengurusan DE-CIX Malaysia, Wong Weng Yew berkata Pulau Pinang berada di kedudukan yang sempurna untuk muncul sebagai hab kesalinghubungan baharu di rantau Asia Tenggara disebabkan tahap inovasi dan kemajuan teknologi semasa negeri ini.

 

 

Wong Weng Yew
Wong Weng Yew

 

 

"Melalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk menyediakan platform kesalinghubungan terkini yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekosistem digital di Pulau Pinang, sekali gus memperkasakan perniagaan, institusi dan individu dengan ketersambungan lebih kukuh dan akses unggul kepada rangkaian global.

 

“PIX yang dikuasakan oleh DE-CIX akan berfungsi sebagai pintu masuk penting, mengupayakan pertukaran data dan memudahcara kerjasama, dan akhirnya, memacu inovasi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi,” ujar beliau dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

 

Menurut kenyataan tersebut, landskap kawal selia dan dasar mesra teknologi negara telah bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan usaha kerajaan mempergiatkan keupayaan pendigitalan negara bagi menjadikan Malaysia salah satu hab infrastruktur digital utama di rantau ini.

 

Oleh itu, kerjasama ini pastinya akan menyumbang kepada usaha merancakkan kadar penerimagunaan digital, terutamanya dalam sektor perniagaan.


PIX akan diuruskan mengikut dasar operasi standard yang dilaksanakan oleh DE-CIX Malaysia di ibu sawat internet (IX) yang lain, bagi menjamin tahap keselamatan dan kebolehpercayaan dengan mematuhi amalan keselamatan terbaik dalam industri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ng Kwang Ming berkata syarikat itu bersedia untuk menerima pelaburan daripada penyedia kandungan, Rangkaian Penyampaian Kandungan (CDN), dan pelbagai perniagaan berteraskan Internet lain, yang akan memainkan peranan penting dalam membina asas ekosistem pusat data yang teguh di Pulau Pinang.

 

Kerjasama antara DE-CIX Malaysia dan Digital Penang juga akan menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kepakaran teknikal dalam bidang IX.

 

Sesi latihan dan Forum Rangkai Padan (Peering) Pulau Pinang secara tahunan akan dianjurkan bagi memudahkan pertukaran pengetahuan dan meningkatkan tahap kecekapan teknikal dalam kalangan pihak berkepentingan.   - DagangNews.com