Datasonic, TDA, UiTM bekerjasama pertingkat kecekapan cegah ancaman keselamatan siber | DagangNews Skip to main content

Datasonic, TDA, UiTM bekerjasama pertingkat kecekapan cegah ancaman keselamatan siber

Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Nordin di majlis perasmian Pusat Keselamatan Siber UiTM Shah Alam yang terletak di Fakulti Sains Komputer dan Matematik.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

SHAH ALAM 22 Sept - Datasonic Group Berhad menjalin kerjasama dengan Technology Depository Agency (TDA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk meningkatkan kecekapan tempatan dalam mencegah ancaman keselamatan siber.

 

Datasonic, melalui anak syarikatnya Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), telah membangunkan fasiliti keselamatan siber yang terletak di Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), UiTM Shah Alam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Nordin menzahirkan harapan beliau agar makmal yang telah dinaik taraf dengan peruntukan RM1.1 juta tersebut memberi manfaat serta akan digunakan dengan sebaiknya oleh setiap pihak.

 

“Kami berharap pelancaran projek ini akan memberi manfaat serta akan digunakan dengan sebaiknya oleh setiap pihak dalam mendapatkan pengalaman praktikal dan gambaran mengenai teknologi terkini, yang akan memperkuat pertahanan siber negara secara kolektif.

 

 

(Dari kiri) Professor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Dr. Sharoul Jambari dan Datuk Hanifah Nordin merasmikan fasiliti keselamatan siber di UiTM Shah Alam di sini, hari ini.
(Dari kiri) Professor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor, Dr. Sharoul Jambari dan Datuk Hanifah Nordin merasmikan fasiliti keselamatan siber di UiTM Shah Alam di sini, hari ini. (FOTO DAGANGNEWS NAIM AZIZ)

 

 

“Diharapkan juga, projek ini bakal melahirkan generasi pakar keselamatan siber yang dapat menjaga landskap digital kita,” ujar beliau dalam majlis pelancaran Pusat Keselamatan Siber UiTM Shah Alam yang terletak di Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

 

Fasiliti tersebut merupakan salah satu daripada projek yang tercetus daripada perolehan kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan telah disyaratkan untuk memenuhi obligasi program kolaborasi industri (ICP).

 

Makmal yang dilengkapi dengan peralatan dan perisian canggih khusus dalam bidang keselamatan siber ini telah dibangunkan dengan tiga fokus utama yang merangkumi pemindahan teknologi dan pengetahuan; pembangunan sumber manusia; serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengkomersialan.

 

 

(Dari kiri) Datuk Hanifah Nordin, Dr. Sharoul Jambari dan Professor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor mendengar penjelasan berkenaan gerak kerja keselamatan siber
(Dari kiri) Datuk Hanifah Nordin, Dr. Sharoul Jambari dan Professor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor mendengar penjelasan berkenaan gerak kerja keselamatan siber. (FOTO DAGANGNEWS NAIM AZIZ)

 

DTSB sebagai penyedia ICP telah bersetuju untuk menaik taraf makmal keselamatan siber di fakulti tersebut agar makmal sedia ada boleh dijadikan hab tindak balas dan pencegahan ancaman keselamatan siber.

 

Manakala TDA yang merupakan pihak berkuasa ICP berperanan untuk mengurus dan memantau pelaksanaan projek ini selaras dengan dasar ICP yang telah pun digariskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

 

Selain fasiliti itu, pembangunan aplikasi yang dikenali sebagai UiTM Digital Sandbox, sebuah dashboard yang bakal dikomersialkan, telah dibangunkan penyelidik di UiTM bersama-sama dengan DTSB sebagai sistem pertahanan bagi mengawasi sebarang pencerobohan dalam rangkaian sistem komputer, dan juga mengesan sebarang ancaman siber.

 

 

Professor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor, Dr. Sharoul Jambari dan Datuk Hanifah Nordin di hadapan makmal keselamatan siber yang terletak di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Shah Alam
Professor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor, Dr. Sharoul Jambari dan Datuk Hanifah Nordin di hadapan makmal keselamatan siber yang terletak di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Shah Alam

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr. Sharoul Jambari berkata projek ini merupakan salah satu contoh yang baik untuk menggambarkan bagaimana ICP boleh menjana kerjasama pelaburan antara pihak universiti dan industri.

 

“Dengan proses pemindahan teknologi dan juga pengetahuan yang telah dijalankan, kita berharap agar projek ini berupaya menjana impak dan pulangan yang memberi nilai tambah kepada negara, khususnya dalam bidang keselamatan siber,” katanya.

 

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor menambah bahawa tenaga pakar terhasil dari pusat ini akan menyediakan ekosistem siber yang selamat, dan berupaya mempertahankan aset siber seperti rangkaian, sistem maklumat dan program atau sistem aplikasi daripada sebarang ancaman seperti kecurian data dan serangan siber.

 

“Ini seterusnya akan memberi kelebihan kepada proses pembangunan dan pertahanan negara dan secara tidak langsung menarik minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia,” ujar beliau. - DagangNews.com