KUALA LUMPUR 29 Sept - Datasonic Group Berhad melaksanakan projek perintis pembelajaran digital menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan sebanyak 10 buah sekolah di Lembah Klang dan Perak.
Ketua Projek-Projek Khas Datasonic, Datuk Syahril Abdullah berkata, projek yang dijalankan sejak tujuh bulan lepas itu menerusi kerjasama dengan Virtualtech Frontier Sdn Bhd.
Beliau berkata, projek tersebut kini dalam proses pengumpulan data, yang dijangka diselesaikan dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tindakan lanjut.
Katanya, projek bernilai bawah RM1 juta itu bertujuan bagi membangunkan cara baharu pembelajaran lebih mudah kepada para pelajar, dengan menggunakan teknologi AI.
"Pelaburan ini dalam projek ini bukan semata-mata berteraskan keuntungan, tetapi untuk generasi akan datang.
"Sektor pendidikan juga perlu berubah ke arah cara baharu ini bagi menjadikan pembelajaran lebih mudah difahami para pelajar," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Terdahulu, Datasonic dan Virtualtech Frontier Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik bagi membangunkan teknologi Metaverse untuk sektor pendidikan di negara ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Virtual Frontier, Jason Low dan Ketua Bahagian K12 Bakat Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Sofia Akmal Abu Bakar.

Tambah Syahril, cabaran yang dihadapi guru adalah bagi memastikan supaya pelajar faham apa yang mereka pelajari di sekolah.
"Dengan visualisasi teknologi AI, ia akan memberikan pemahaman lebih baik dan jelas kepada para pelajar. Ia juga sekali gus dapat mengubah konsep pembelajaran buku teks kepada cara yang lebih menarik menggunakan AI," katanya. - DagangNews.com








