Dakwaan Kompleks PKNS Shah Alam mahu dirobohkan tidak benar | DagangNews Skip to main content

Dakwaan Kompleks PKNS Shah Alam mahu dirobohkan tidak benar

oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 18 Mac – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan yang tular di media sosial dan laporan di akhbar mengenai cadangan merobohkan Kompleks PKNS Shah Alam yang telah berusia lebih empat dekad itu.

 

PKNS menyatakan kekesalan terhadap dakwaan yang tidak berasas tersebut, yang sama sekali tidak benar.

 

"PKNS ingin menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan kompleks ini.

 

"Pada masa yang sama, PKNS akan membuat laporan polis dan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan penyebaran berita yang tidak benar ini," kata agensi pelaburan negeri Selangor dalam kenyataan yang diemel pukul 5.04 petang hari ini. 

 

 

 

 

Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun itu, merupakan satu daripada mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan yang penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar.

 

 

parafrasa

 

 

Menurut PKNS lagi, perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

 

"Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan melibatkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC dimana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak melibatkan bangunan Kompleks PKNS.

 

"Sebaliknya, kawasan ini akan dinaik taraf untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman yang lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat," kata PKNS.

 

 

pkns
Kompleks PKNS jadi tumpuan terutama musim perayaan.

 

 

Projek peremajaan ini juga adalah seiring dengan usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon dengan bangunan yang dinaik taraf akan menggunakan sistem ‘centralised chill water’ selain sistem tenaga hijau.

 

Ia juga sebagai memenuhi komitmen PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan serta peningkatan taraf sosioekonomi negeri Selangor secara keseluruhan.

 

Sepanjang proses menaik taraf ini, operasi perniagaan di Kompleks PKNS akan berlangsung seperti biasa dan pengunjung akan bebas membeli barang keperluan mereka. - DagangNews.com