CelcomDigi perkenal pelan prabayar 5G baharu serendah RM25 sebulan | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi perkenal pelan prabayar 5G baharu serendah RM25 sebulan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - CelcomDigi Bhd melancarkan pelan prabayar 5G CelcomDigi baharunya, yang akan membantu lebih ramai pelanggan menikmati sambungan 5G dan 4G di rangkaian terluas dan terpantas di Malaysia. 

 

Syarikat telekomunikasi itu berkata, pelan itu memenuhi keperluan pelanggan prabayar berbeza yang mahukan sambungan dan penstriman yang lancar, sambil memberi mereka kelonggaran untuk menyesuaikan perbelanjaan serya penggunaan mereka mengikut bajet dan keperluan internet mereka.

 

"Tersedia mulai 1 Mac 2024, Prabayar 5G CelcomDigi hadir dalam dua pelan dari serendah RM25/bulan: 5G Tanpa Had dengan Prabayar 5G CelcomDigi Edisi Biru dan 5G Berkelajuan Tinggi dengan Prabayar 5G CelcomDigi Edisi Kuning.

 

"Dari serendah RM25/bulan, Prabayar 5G CelcomDigi Edisi Biru hadir dengan internet tanpa had untuk menampung semua keperluan penting pengguna.

 

"Selain itu, pelanggan akan menikmati sehingga 55GB kuota internet (5G dan 4G) bersama-sama dengan kuota Hotspot tambahan, pada kelajuan tinggi sehingga 100Mbps, dan panggilan tanpa had ke semua rangkaian," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, pelanggan akan mendapat sehingga 75GB kuota internet (5G dan 4G), dan kuota Hotspot tambahan, pada kelajuan tinggi sehingga 100Mbps, membolehkan mereka strim atau bermain permainan dalam talian tanpa gangguan, yang mana pelanggan juga akan menikmati panggilan tanpa had ke semua rangkaian dari serendah RM25/bulan,

 

Katanya, peminat penstriman kini mempunyai pilihan untuk membeli pas penstriman Prabayar 5G CelcomDigi Edisi Biru yang disertakan dengan langganan premium untuk Viu pada RM44/bulan (bernilai RM56.90/bulan) atau iQIYI pada RM47/bulan (bernilai RM50.90/bulan). 

 

 

celcomdigi

 

 

"Pelanggan juga akan menikmati internet tanpa had untuk keperluan penting mereka, kuota internet 55GB (5G dan 4G) dan kuota Hotspot 3GB, pada kelajuan tinggi sehingga 100Mbps bersama-sama dengan panggilan tanpa had ke semua rangkaian.

 

"Pelanggan yang memilih mana-mana pelan Prabayar 5G CelcomDigi akan mempunyai fleksibiliti untuk membeli pas sekali bagi kuota Internet tambahan dari serendah RM1. Bergantung pada keperluan mereka, pelanggan boleh memilih antara pas setiap jam, harian dan mingguan dengan kuota Internet sehingga 20GB (5G dan 4G)," katanya.

 

Katanya, CelcomDigi turut menawarkan pengenalan istimewa untuk pelanggan yang mendaftar atau menaik taraf dari 1 Mac hingga 30 Jun 2024.

 

"Untuk Edisi Biru, pelanggan yang mendaftar untuk pas internet RM39, akan menikmati tambahan 10GB Internet berkelajuan tinggi (5G dan 4G) dan lima kali ganda lebih kuota Hotspot, manakala Edisi Kuning, pelanggan yang mendaftar untuk pas Internet RM25 dan RM39, juga akan menikmati tambahan 10GB Internet berkelajuan tinggi (5G dan 4G) dan lima kali ganda lebih kuota Hotspot," katanya.

 

Tambahnya, pelanggan sama ada Edisi Biru atau Edisi Kuning juga akan mendapat akses kepada pas sekali hanya RM1 dengan internet tanpa had (5G dan 4G) selama 1 jam. - DagangNews.com