CelcomDigi, DHL perkenal Gudang Autonomi AI dikuasakan 5G pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi, DHL perkenal Gudang Autonomi AI dikuasakan 5G pertama di Malaysia

Dengan sokongan rangkaian 4G LTE dan sambungan 5G CelcomDigi, Pusat Logistik DHL yang terletak di Shah Alam kini dilengkapi dengan rumusan AI dan robotik terkini, untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap. - Gambar Facebook Kementerian Komunikasi dan Digital
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt - CelcomDigi Bhd bekerjasama dengan DHL Supply Chain Malaysia, peneraju pasaran global untuk rumusan logistik kontrak, bagi mengendalikan Sistem Pengurusan Inventori Autonomi Kecerdasan Buatan (AI) dikuasakan 5G yang pertama di Malaysia. 

 

Dengan sokongan rangkaian 4G LTE dan sambungan 5G CelcomDigi, Pusat Logistik DHL yang terletak di Shah Alam kini dilengkapi dengan rumusan AI dan robotik terkini, untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap.

 

Kerjasama CelcomDigi dengan DHL tersebut dilaksanakan menerusi Pusat Inovasi CelcomDigi yang baru ditubuhkan. Ia memanfaatkan teknologi 5G dan rumusan AI untuk mencipta sistem pengurusan inventori robotik, yang menyediakan pengurusan gudang multi-tingkat yang lebih baik dan cekap pada tahap optimum. 

 

Dengan memanfaatkan potensi dron autonomi, DHL melaksanakan pengurusan inventori harian dan tugasan operasi dengan rumusan pengiraan stok automatik dan teknologi visi komputer secara bebas untuk mencegah ralat manusia. 

 

Rumusan itu akan meningkatkan kecekapan operasi pengiraan stok sehingga 20 kali ganda dan ketepatan sehingga 100%. Malah, ia akan mengoptimumkan penggunaan ruang dalam gudang dan mengurangkan penggunaan elektrik harian.

 

Kerjasama itu adalah satu inisiatif penting untuk merealisasikan sinergi antara pelbagai industri, dan menyampaikan operasi logistik yang dipertingkatkan dalam ekosistem digital yang dipacu AI. 

 

CelcomDigi dan DHL akan meneruskan kerjasama bagi menilai pelaksanaan dron autonomi AI dan sistem pengurusan inventori robotik yang dikuasakan 5G merentasi semua gudang DHL di seluruh negara. 

 

 

celcomdigi

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama kedua-dua pihak mencerminkan nilai sebenar dan manfaat teknologi 5G, robotik dan AI. 

 

Katanya, ia sebahagian usaha berterusan pihaknya untuk memacu penerapan dan pembolehan 5G secara cekap merentasi perusahaan dan ekosistem digital Malaysia. 

 

"Dengan menyatukan dua industri berbeza, yang sama-sama memperjuangkan inovasi dan transformasi digital melalui peningkatan produktiviti dan rumusan digital yang canggih, kami telah merevolusikan logistik gudang dengan operasi harian yang lebih cekap. 

 

 

celcomdigi

 

 

"Kami komited untuk membina ekosistem digital yang paling inovatif di negara dengan membina sinergi baharu antara industri yang berbeza, serta melaksanakan rumusan lebih inovatif bagi memacu kecekapan dan pertumbuhan, sekali gus membolehkan perniagaan Malaysia memainkan peranan penting dalam revolusi digital dan ekonomi digital global," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengarah Urusan Negara DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz pula berkata, kerjasama itu melambangkan permulaan era baharu dalam landskap logistik dan telekomunikasi. 

 

"Sistem Inventori Autonomi AI kami yang dikuasakan 5G bukan sekadar satu pencapaian, tetapi bukti potensi yang mampu direalisasikan apabila pemimpin-pemimpin industri berpadu tenaga untuk menolak sempadan inovasi," katanya. - DagangNews.com