KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion dalam bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu meningkat RM600 juta berbanding tahun ini selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 bagi setiap tan.
Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 bagi setiap tan bagi meningkatkan pendapatan pesawah.
Selain itu, beliau berkata kerajaan telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang Semut, Kedah.
“Ia selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion.
“Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi manfaat nelayan, Perdana Menteri berkata, kerajaan terus mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 sen seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun.
“Nelayan juga diberikan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan.
"Kerajaan juga menyediakan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur,” katanya.
Anwar berkata,kerjaan menyediakan sebanyak RM400 juta bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dengan tumpuan khusus pada meningkatkan pengeluaran tanaman makanan tempatan yang masih bergantung kepada import.
“Antaranya, RM150 juta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimum penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan.
“Sejumlah RM50 juta bagi melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka untuk memberi pesawah pilihan baja yang ingin digunakan,” katanya.
Bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing agroprenuer muda, beliau berkata, Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana hingga RM430 juta.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melindungi petani, penternak dan nelayan yang berdepan musibah sehingga memusnahkan hasil tanaman dan ternakan dengan peruntukan RM50 juta di bawah Tabung Bencana Pertanian, bagi pampasan hingga 50% daripada nilai kerugian.
Beliau berkata, sejumlah RM50 juta turut disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi untuk manfaat lebih 240,000 pesawah. - DagangNews.com








