KUALA LUMPUR 24 Mei - Anak syarikat Capital A Bhd, Asia Digital Engineering (ADE) melancarkan dua produk rumusan digital terbaharunya, 'Aerotrade' dan 'Elevade Fleet' yang bakal merevolusikan landskap perolehan bahagian pesawat serta pengurusan holistik baik pulih pesawat di Asia.
Kedua-dua platform inovatif ini direka bertujuan untuk menyelaraskan operasi, meningkatkan kecekapan serta meningkatkan prestasi keseluruhan industri penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, memanfaatkan kedudukan sebagai penyedia penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) utama untuk AirAsia selama lebih 20 tahun, matlamatnya adalah memudahkan proses perolehan bahagian pesawat yang kompleks.
Selain itu katanya, ia juga bagi menyediakan penyelesaian sehenti untuk syarikat penerbangan, menawarkan sistem pengurusan kesihatan pesawat holistik, membolehkan syarikat penerbangan mengoptimumkan aktiviti penyelenggaraan dan meningkatkan keselamatan.
"Penyelesaian inovatif ini mempamerkan komitmen kami untuk merevolusikan industri penerbangan di Asia dan seterusnya. Kami berbangga melihat kejuruteraan bertaraf dunia dan kepakaran MRO peneraju industri kami mempelopori inovasi penyelesaian digital sedemikian di Asia.
"Pelancaran hari ini akan menjadi batu loncatan bagi kami untuk terus menerajui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam menjadi sebuah syarikat yang inovatif dan peneraju dalam kalangan pemain penerbangan serta MRO lain di Malaysia dan Asia Pasifik.
"Kerja-kerja sedang dalam perancangan untuk menyepadukan kecerdasan buatan (AI) ke dalam ciri-ciri ini sebagai sebahagian daripada bidaan kami untuk memastikan standard perkhidmatan tertinggi dalam semua yang kami lakukan untuk memenuhi keperluan pelanggan kami dengan terbaik," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pelancaran tersebut berlangsung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) sambil disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Dalam pada itu, Chang berkata, Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam membangunkan industri penerbangan dan aeroangkasanya, memfokuskan kepada sains, teknologi dan inovasi.
Beliau juga memuji usaha berterusan ADE dalam merintis inovasi dan kemajuan teknologi, yang menghasilkan pelancaran Aerotrade dan Elevade Fleet hari ini.
"Dengan menerima transformasi dan inovasi digital, kita mampu memacu kemajuan dalam kejuruteraan pesawat dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab kecemerlangan teknologi dalam sektor penerbangan di peringkat serantau dan global.
"Kerajaan komited dalam menyokong pertumbuhan industri penerbangan dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk penyelidikan dan pembangunan aeroangkasa (AR&D) dan memupuk inovasi dalam kalangan pemain industri," katanya. - DagangNews.com








