Artem Ventures sasar biayai 10 lagi syarikat pemula, RM45 juta modal teroka menerusi kerjasama FWD | DagangNews Skip to main content

Artem Ventures sasar biayai 10 lagi syarikat pemula, RM45 juta modal teroka menerusi kerjasama FWD

Pengurusan Artem Ventures bersama wakil FWD dalam satu sesi perkongsian pelaburan yang berlangsung pertengahan tahun lalu.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jan - Artem Ventures merancang membiayai lebih 10 syarikat baharu menjelang separuh kedua tahun 2024.

 

Perkembangan pantas ini setelah firma tersebut melabur ke dalam 12 syarikat pemula baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan tahun lalu.

 

Antara syarikat tersebut ialah Kiddocare, du-it, MADCash dan Qwork.

 

Pada 2024, Artem Ventures akan bekerjasama dengan FWD Group bagi melancarkan TIM Ventures, dana modal teroka sebanyak RM45 juta untuk melabur dalam syarikat pemula teknologi insurans (insurtech) dan teknologi kewangan (fintech) Islam di Malaysia.

 

Matlamat keseluruhan adalah untuk memberi perkhidmatan kewangan merentas komuniti, kata Artem Ventures menerusi kenyataan media hari ini.

 

Prinsipal Artem Ventures, Tunku Omar Asraf berkata, menjadi hasrat pihaknya untuk mewujudkan peluang perniagaan yang menyokong setiap lapisan masyarakat di seluruh negara tanpa hanya tertakluk kepada perniagaan untuk pasaran penduduk bandar.

 

"Apabila kami melihat syarikat mana sesuai untuk kami melabur, perkara penting yang dipertimbangkan ialah: bagaimana syarikat ini akan membawa nilai kepada ekosistem dan menyumbang kembali kepada masyarakat? 

 

tunku
Prinsipal Artem Ventures, Tunku Omar Asraf

 

"Kami dengan bangganya memperjuangkan perusahaan sosial yang diterajui wanita yang telah mmperuntukkan masa mereka untuk pembangunan komuniti pada skala tempatan dan serantau serta pertumbuhan ekonomi di Malaysia,” katanya.

 

Artem Ventures komited membimbing dan melatih syarikat portfolio dalam membangunkan keupayaan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), strategi perniagaan dan menggunakan rangkaian rakan kongsinya yang luas untuk pemerolehan bakat strategik.

 

Perkongsian Artem dengan program Startups for Sustainable Development Google juga membolehkan mereka memperkasakan syarikat pemula yang memberi impak dan menggalakkan pembangunan mampan di Malaysia merentas komuniti yang berbeza.- DagangNews.com