AmBank, Ramssol Group jalin kerjasama strategik tawarkan pekerja akses gaji melalui platform “Pay Day Now” | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmBank, Ramssol Group jalin kerjasama strategik tawarkan pekerja akses gaji melalui platform “Pay Day Now”

(Dari kiri) Ketua Perbankan Komersial 1, Perbankan Perniagaan, Kumpulan AmBank, Yeow Swee Yun; Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan, Kumpulan AmBank, Christopher Yap; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Ramssol, Liew Yu Hoe (Brian)
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept - Kumpulan AmBank memeterai kerjasama strategik dengan anak syarikat milik penuh Ramssol Group Bhd, RAMS Fintech Sdn Bhd bagi menawarkan akses gaji (EWA) kepada pekerja melalui platform dalam talian RAMS FINTECH, “Pay Day Now”.

 

Menurut AmBank dan Ramssol Group, kerjasama itu membenarkan pekerja mengakses gaji sebelum hari bayaran biasa bagi meningkatkan kestabilan dan fleksibiliti kewangan, tanpa beban bayaran faedah. 

 

Katanya, platform hanya mengenakan yuran pemprosesan tetap, menjadikannya pilihan yang lebih mudah diakses dan kos efektif untuk pekerja.

 

"Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memperkenalkan produk masing-masing kepada khalayak baharu, memanfaatkan pelanggan masing-masing bagi mengembangkan jangkauan mereka dan memupuk pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan kewangan, sambil mematuhi terma dan syarat yang dikenakan. 

 

"Platform itu akan menyasar pekerja awam sebagai pasaran awal dan akan menumpukan kepada syarikat tersenarai awam. 

 

"Selain itu, platform ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan yang boleh diakses oleh bank," ujarnya dalam kenyataan hari ini.  

 

Pekerja boleh mengakses gaji secara mingguan, bagi keperluan kewangan kecemasan yang tidak dijangka pula, pekerja perlu membayar sebahagian kecil daripada yuran pemprosesan.

 

Pengarah Urusan, Perbankan Perniagaan, Kumpulan AmBank, Christopher Yap berkata, kerjasama dengan Kumpulan Ramssol menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam misi AmBank untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang memacu ke arah kemampanan sosial.

 

"Dengan kepakaran mendalam RAMS FINTECH dalam pengurusan modal insan dan penyelesaian digital sejajar dengan visi kumpulan untuk memperkasakan perniagaan untuk berkembang maju dalam persekitaran yang berubah dengan pantas.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, EWA boleh memberi pekerja pelang untuk menguruskan  pendapatan mereka serta mengurangkan tekanan kewangan antara cek gaji.

 

"Pekerja yang berasa selamat dari segi kewangan adalah lebih produktif dan berpuas hati, dan melalui EWA, kami mengorak langkah penting ke hadapan dalam menyediakan penyelesaian kewangan inovatif,"ujar beliau. - DagangNews.com