Skip to main content

UPM hasilkan bekas makanan biodegrasi berasaskan sabut kelapa, mesra alam sekitar

Kerangka pinggan yang diperbuat daripada sabut kelapa hasil kajian UPM.

SERDANG 15 Feb - Bekas makanan merupakan perkara penting bagi pengusaha makanan. Kini, rata-rata masyarakat sudah memiliki kesedaran tinggi dalam pemilihan bekas makanan yang mesra alam untuk mengurangkan penggunaan plastik di pasaran.

 

Selari dengan usaha ke arah masa depan yang lebih hijau dan selamat, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi sepasukan penyelidik dari Fakulti Pertanian diketuai Prof. Madya Dr. Siti Salwa Abd Gani mengambil inisiatif dengan menghasilkan inovasi bekas makanan mesra alam yang menawarkan pelbagai kelebihan seperti mudah dileraikan, murah dan efektif.

 

Pembungkusan bekas makanan yang menggabungkan konsep biodegradasi berasaskan sabut kelapa menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar dan digunakan sebagai alternatif bagi menggantikan penggunaan plastik, polisterin dan sebagainya.

 

Selaras dengan ketetapan Barisan Jemaah Menteri Malaysia pada tahun 2018 telah membangunkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna menjadikan inisiatif yang diambil oleh penyelidik UPM sebagai langkah proaktif yang mendukung cita-cita ini dengan berkongsi kepakaran menghasilkan inovasi bekas
makanan sabut kelapa.

 

Melalui garis panduan yang dikeluarkan oleh Pelan Tindakan Serantau ASEAN 2021-2025, 188 negara anggota ASEAN amat menitikberatkan kawalan pergerakan sisa plastik termasuk mengambil langkah proaktif dengan menyenaraikan jenis penggunaan sisa plastik yang berbahaya dan fokus diberikan kepada keperluan pengurusan pelupusan sisa plastik secara mampan.

 

Bekas makanan menggunakan plastik menyumbang kepada isu global kerana jangka hayat yang diambil begitu lama untuk dilupuskan sehingga menjangkau tempoh 10
hingga 50 tahun untuk proses pereputan tambahan pula, penggunaannya dalam kuantiti yang banyak telah mengakibatkan isu pemanasan global dan pengumpulan gas rumah hijau.

 

Penggunaan plastik yang berterusan juga mengancam keseimbangan ekosistem negara apabila, pemikiran masyarakat yang sewenang-wenangnya membuang plastik sampah merata-rata sehingga menyebabkan berlakunya kepupusan haiwan akuatik kerana menganggap plastik yang terdampar di lautan adalah bahan makanan hidupan laut.

 

 

Prof. Madya Dr. Siti Salwa Abd Gani
                   Prof. Madya Dr. Siti Salwa Abd Gani

 

Melalui inovasi sabut kelapa, bekas makanan tidak lagi menjadi faktor yang menyumbang kepada pencemaran alam untuk jangka masa yang panjang sekali gus meningkatkan usaha negara untuk memulihara ekosistem kehidupan.

 

Ekonomi Malaysia mencatatkan industri berasaskan pokok kelapa merupakan industri keempat terbesar dan terpenting di negara kita, oleh itu sisa tanaman sabut kelapa adalah murah dan mudah didapati menjadikannya bahan asas yang baik untuk menghasilkan inovasi hijau.

 

Selain mudah didapati dan harga yang murah, teknologi ini juga menawarkan daya ketahanan yang tinggi untuk menampung berat makanan sehingga mencapai 1
kilogram.

 

Menurut Dr. Siti Salwa, inovasi ini menawarkan pelbagai faedah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sisa tanaman.

 

 

UPM
Kajian UPM ke atas sabut kelapa

 

Malah, pendekatan yang diambil untuk menghasilkan inovasi ini adalah menarik berbanding bekas makanan yang berada di pasaran dengan mengetengahkan konsep “From Waste to Wealth” menjadikannya sebagai daya penarik pengguna terutama bagi pencinta alam sekitar, katanya.

 

“Konsep yang diterapkan ternyata memberi kelebihan tentang perhatian yang diberikan dengan menukarkan sisa terbuang menjadi bahan penting komponen bekas makanan demi memastikan kelestarian alam sekitar dan pengurangan sisa tanaman sabut kelapa dapat dicapai,” jelasnya lagi.

 

Katanya, kami memandang serius hasrat kerajaaan dan badan NGOs antarabangsa demi memastikan keseimbangan ekosistem, oleh itu perkara ini menjadi fokus utama
dalam penghasilan inovasi ini dengan memastikan ia mudah terurai dan cepat dibiodegradasi menjadikannya alternatif terbaik menggantikan polisterin dan plastik.

 

 

UPM
Sabut kelapa yang banyak gunanya.

 

 

Menitikberatkan keperluan penggunaannya yang meluas di pasaran, inovasi ini dibangunkan menggunakan kos yang murah dan mudah didapati bagi menjamin
semua lapisan masyarakat mampu menggunakannya secara meluas. 

 

Ciptaan yang telah dipatenkan ini dijangka menerima sambutan hangat kerana faedah yang ditawarkan terutama kepada pengusaha makanan kerana penggunaanya adalah praktikal, murah dan sebagai langkah melaksanakan dasar kerajaan dalam memanfaatkan sisa tanaman serta mengurangkan penggunaan plastik dan polisterin.

 

 

 Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman
Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman

 

 

Timbalan Pengarah (Promosi dan Pengkomersilan Inovasi), Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman berkata, Putra Science Park UPM amat mengalu-alukan kolaborasi dari pihak industri bagi memastikan hasil penyelidikan dapat disalurkan ke pasaran supaya semua pihak dapat menikmati maanfatnya ke arah kehidupan yang lebih selamat dan berteknologi tinggi. - DagangNews.com