UMediC sasar RM31.11 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

UMediC sasar RM31.11 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - UMediC Group Berhad (UMC) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Julai 2022, menyasarkan untuk mengumpul RM31.11 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

IPO itu terdiri daripada 97.22 juta saham baharu dengan 18.7 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia, 13.09 juta kepada pengarah dan pekerja yang layak dan 65.44 juta akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Berdasarkan harga terbitan 32 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 373.91 juta saham, UMC akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM119.65 juta selepas penyenaraian.

 

Daripada hasil RM31.11 juta itu sebanyak RM9 juta akan diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman dan RM8.66 juta untuk modal kerja.

 

Sejumlah RM6.8 juta lagi akan diperuntukkan untuk penubuhan pejabat pemasaran dan pengedaran baharu, manakala baki RM3.5 juta akan digunakan untuk pembinaan kilang baharu.

 

UMC dan anak syarikatnya terlibat dalam pemasaran dan pengedaran pelbagai peranti perubatan berjenama, bahan guna guna serta penyediaan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produknya.

 

Kumpulan itu juga terlibat dalam pembangunan, pembuatan dan pemasaran bahan pakai buang perubatan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Taw Seong berkata, kemasukan mereka ke dalam pasaran modal akan meletakkan kumpulan itu pada kedudukan terbaik bagi mengembangkan perniagaan mereka.

 

"Dipadankan dengan permintaan daripada segmen pembuatan, kami berhasrat untuk menggunakan hasil IPO itu untuk membina sebuah kilang baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

 

"Pihak pengurusan kami meramalkan potensi masa hadapan yang sangat besar dan kami bersedia untuk merebut peluang itu," katanya. - DagangNews.com