Touch 'n Go eWallet, FamilyMart perkenal FamiDelivery | DagangNews Skip to main content

Touch 'n Go eWallet, FamilyMart perkenal FamiDelivery

Ignatius Ong (kiri) dan Chia Lik Khai
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Touch ‘n Go eWallet dan FamilyMart menjalin kerjasama memperkenalkan perkhidmatan FamiDelivery untuk pengguna menikmati penghantaran terus ke pintu rumah menerusi pembelian di premis peruncitan itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd., Ignatius Ong berkata, Touch ‘n Go eWallet sentiasa mencari lebih ramai rakan kongsi seperti FamilyMart untuk membawa nilai tambah dan memberi pengguna pengalaman lebih baik. 

 

"Ia sejajar dengan visi FamilyMart mewujudkan ekosistem pembayaran bersepadu di mana pengalaman membeli-belah pengguna memberi ganjaran sambil meneruskan momentum menerima pakai pembayaran tanpa tunai, selamat dan mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ong berkata, tawaran itu tiba tepat pada masanya sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini. 

 

"Ramai rakyat Malaysia memilih pembayaran tanpa sentuh dan tanpa tunai. Pengguna kami sentiasa mencari pengalaman lebih lancar dan bermanfaat apabila mereka membeli-belah. 

 

"Ia tepat pada masanya untuk Tahun Baharu Cina yang akan datang kerana pelanggan akan mencari pelbagai pilihan makanan ditawarkan FamilyMart dan bukannya taburan Tahun Baru Cina tradisional," katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Pengarah Eksekutif QL Resources Berhad, Chia Lik Khai berkata, perkhidmatan penghantaran atas permintaan FamiDelivery bertujuan memberikan lebih banyak kemudahan kepada pengguna dan terus berkembang dengan gaya hidup semasa mereka. 

 

"Perkongsian dengan Touch ‘n Go eWallet ialah kerjasama inovatif membolehkan FamiDelivery menjangkau lebih ramai pengguna di seluruh negara. Selaras dengan konsep konbini, FamilyMart sentiasa berinovasi menyediakan pengguna dengan penyelesaian lebih mudah dan penawaran makanan segar halal yang trendi,” katanya.

 

Pengguna boleh menyemak dan imbas katalog FamiDelivery melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet untuk membeli makanan, snek panas, makanan cepat saji, pencuci mulut, minuman kafe, barangan runcit dan produk penjagaan diri secara langsung. 

 

Mereka boleh memilih penghantaran dalam masa 30 minit atau mengambil di FamilyMart pilihan mereka setelah pembayaran dibuat, selain menikmati penghantaran percuma pesanan bernilai melebihi RM30.

 

Sebagai tambahan, pengguna boleh menikmati diskaun sehingga 60% untuk makan malam oden dan mangkuk snek, susu buih gula perang serta sandwic croissant dari 26 Januari hingga 22 Mac 2022. 

 

Makanan ringan dan minuman lain, termasuk onigiri, frappe, milkshake tersedia pada harga biasa bagi mereka yang ingin menikmati musim perayaan secara berbeza. - DagangNews.com