Skip to main content
DagangNews.com
BUAH PIKIOR - 16 July 2020

 

TIDAK ramai di antara kita yang sedar atau tidak bahawa tahun ini adalah merupakan tahun yang ke-50 Rukun Negara dicipta.

Seingat saya sendiri, saya tahu bahawa tarikh pelancaran Rukun Negara ini dibuat pada tahun 1970 tetapi saya benar-benar sudah lupa bilakah tarikh sebenar Rukun Negara ini dilancarkan.

Setelah membuat sedikit pembacaan, barulah ingatan ini datang semula bahawa Rukun Negara di Malaysia ini telah dilancarkan pada tarikh 31 Ogos 1970.

Pelancaran Rukun Negara ini telahpun dimasyhurkan sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasaruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.
 

rukunegara

Bagi menyemarakkan ulang tahun ke-50 Rukun Negara dicipta pada tahun ini, pihak kerajaan umpamanya telahpun membuat sambutan majlis pelancaran ulang tahun ke-50 Rukun Negara pada 9 Julai yang lalu. Majlis dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepada kelima-lima prinsip yang terdapat didalam Rukun Negara itu wajar dijadikan asas identiti diri dan penyatuan kita sebagai bangsa Malaysia. Secara peribadi, saya juga setuju dengan penekanan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri kita ini supaya Rukun Negara dijadikan asas identiti diri dan penyatuan masyarakat kita.

Namun, nasihat dan saranan Perdana Menteri itu seperti tidak diambil serius malahan mungkin tidak dihiraukan oleh kita sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku di dalam Sidang Parlimen Keempat Belas 2020 Mesyuarat Kedua yang sudah pun berlangsung sejak 13 Julai 2020 yang lalu.

Secara peribadi, saya melihat bahawa Parlimen adalah `gelanggang’ untuk wakil rakyat yang telah dipilih untuk berbahas tentang apa sahaja perkara yang melibatkan urus tadbir dan permasalahan rakyat dengan cara yang matang dan profesional.

Jika budaya terjerit-jerit, memaki hamun dengan bahasa kasar digunakan oleh ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat beberapa hari yang lalu, ia sebenarnya merupakan satu perkara yang sangat-sangat memalukan. Malah, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan sudah pun diketepikan.

Perkara seperti ini sewajarnya perlu dielak daripada berlaku pada masa akan datang. Sidang Parlimen yang ditayangkan secara langsung ini boleh ditonton oleh kesemua lapisan masyarakat melalui pelbagai-bagai platform.

Saya percaya dengan keadaan yang telah berlaku di Parlimen, ia boleh mendatangkan kesan yang tidak baik buat masyarakat. Bayangkan anak-anak kita yang masih kecil turut sama menonton sidang Parlimen tersebut? Adakah kita bersedia untuk menjelaskan dengan rasional apa yang telah berlaku?

Dengan mempamerkan perbuatan yang tidak senonoh di dalam Parlimen tempoh hari, ia menunjukkan bahawa penerapan nilai-nilai murni yang terdapat dalam prinsip Rukun Negara tidak dapat dihayati dan difahami dengan baik.
 

Kecoh
Tajuk berita mengenai kekecohan di Dewan Rakyat.

Teguran yang turut datang daripada beberapa bekas pemimpin negara hatta dari Menteri sendiri terhadap perlunya ahli-ahli Parlimen menunjukkan sifat dan teladan yang baik ketika berbahas jelas membuktikan bahawa mereka juga tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku di dalam dewan tempoh hari.

Rasanya tidak adil juga bagi saya untuk menyalahkan sebilangan Ahli Parlimen atas kegagalan mereka yang telah berlaku dalam sidang Parlimen dalam memahami prinsip Kesopanan dan Kesusilaan.

Kita sebagai rakyat jelata juga perlu turut sama memahami dan mendokong prinsip tersebut. Saban hari kita saling dihidangkan dengan perbuatan menghina bangsa atau kaum-kaum tertentu di platform media-media sosial.

Saya yakin bahawa perkara ini yang telah berlaku kebelakangan ini adalah akibat daripada kegagalan untuk memahami hak masing-masing yang telah diberikan dalam undang-undang negara.

Tidak cukup dengan itu, perasaan membenci secara melampau juga turut disebar luas oleh ahli-ahli politik yang tidak langsung mempunyai tangungjawab untuk membina sebuah negara.

Akhirul kalam saya berharap agar pihak kerajaan selepas ini boleh melihat kepada perlunya kepada cara bagaimana untuk memperkasakan Rukun Negara yang boleh diterapkan melalui sistem pendidikan kita sejak dari awal persekolahan lagi.

Biarlah generasi akan datang nanti boleh menghayati sepenuhnya nilai-nilai murni dan positif yang terdapat dalam Rukun Negara supaya keamanan dan kesejahteraan negara kita sentiasa terpelihara.  - DagangNews.com

Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. Penulis adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.

 

Portfolio Tags