KUALA LUMPUR 4 Jun - Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Aspen (Group) Holdings Ltd mencapai persetujuan untuk menamatkan secara rasmi semua perkara berkaitan proses Permintaan Cadangan (RFP) bagi projek Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2), sekali gus mengakhiri pertikaian yang timbul berhubung projek berkenaan.
Dalam kenyataan bersama pada Rabu, kedua-dua pihak memaklumkan perkara itu diputuskan selepas mengadakan pertemuan bagi membincangkan semua isu tertunggak yang timbul daripada proses RFP BKIP2.
Menurut mereka, susulan penyelesaian tersebut, tiada lagi kenyataan awam akan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan.
PDC menjelaskan bahawa sebagai pihak yang diberi kuasa menilai cadangan, ia telah menggunakan budi bicara dan prerogatif sepenuhnya dalam menilai semua cadangan yang dikemukakan di bawah proses RFP tersebut.
Pada masa sama, Aspen mengakui dan menghormati kuasa PDC sebagai pihak penilai serta tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat berhubung proses pemilihan projek BKIP2.
Artikel berkaitan: Syarat konsortium IJM-Aspen akan tambah kos kepada PDC sehingga RM294 juta, kata Chow Kon Yeow
Kedua-dua pihak turut menjelaskan bahawa kenyataan awam yang dikeluarkan sebelum ini dibuat dengan niat baik berdasarkan pemahaman masing-masing terhadap cadangan yang dikemukakan serta proses penilaian yang dilaksanakan ketika itu.
Malah, isu berkaitan pembinaan jambatan serta permintaan Aspen untuk mendapatkan hak penolakan pertama (first right of refusal) ke atas kira-kira 580 ekar tanah milik PDC yang bersebelahan turut diselesaikan menerusi perbincangan langsung antara kedua-dua pihak.
Menurut PDC, selepas perbincangan tersebut diadakan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menganggap perkara berkenaan sebagai selesai dan tidak lagi menjadi isu yang memerlukan tindakan lanjut. - DagangNews.com








