KUALA LUMPUR 4 Jun – Willowglen MSC Bhd memperoleh dua kontrak baharu di Singapura bernilai RM46.56 juta bagi kerja berkaitan sistem pemantauan grid kuasa serta pemasangan sistem keselamatan.
Kontrak tersebut mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan itu dalam sektor infrastruktur tenaga dan automasi industri.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyedia rumusan kejuruteraan dan automasi industri itu berkata, kedua-dua kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Willowglen Services Pte Ltd.
“Kontrak pertama yang bernilai RM39.42 juta dianugerahkan oleh SP PowerAssets Ltd, iaitu utiliti tenaga di Singapura.
“Skop kerja melibatkan naik taraf Sistem Pengurusan Pengagihan (DMS), khusus untuk sistem pemantauan pelepasan separa yang berfungsi mengesan tanda awal kerosakan pada penebat kabel serta peralatan elektrik,” katanya.
Menurut Willowglen, sistem tersebut penting bagi memastikan kebolehpercayaan grid elektrik berada pada tahap tinggi, selain mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik yang tidak dirancang.
Kontrak tersebut bermula pada 3 Jun 2026 dan dijangka siap pada 2 Disember 2034, menjadikannya projek jangka panjang yang memberi keterlihatan pendapatan berterusan kepada kumpulan.
Sementara itu, kontrak kedua bernilai RM7.14 juta diperoleh daripada Kim Seng Heng Engineering Construction (Pte) Ltd, sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan di Singapura.
Skop kerja kontrak ini melibatkan pembekalan tenaga kerja, bahan serta peralatan bagi pemasangan sistem keselamatan, termasuk kerja kabel, penyediaan laluan kabel, bekalan kuasa, ujian serta pentauliahan sistem.
Projek tersebut telah bermula lebih awal pada 18 Mei 2026 dan dijadualkan siap pada 31 Oktober 2028.
Willowglen menjangkakan kontrak berkenaan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sehingga tamat tempoh masing-masing.
Perolehan ini juga dilihat sebagai petunjuk Willowglen MSC Bhd terus berupaya mengekalkan daya saing dalam mendapatkan projek berskala besar di pasaran luar negara, khususnya Singapura. - DagangNews.com








