Tenaga nuklear diperlukan sebagai pelengkap RE, tampung permintaan pusat data – Pakar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tenaga nuklear diperlukan sebagai pelengkap RE, tampung permintaan pusat data – Pakar

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 4 Jun – Tenaga nuklear dilihat sebagai pelengkap yang praktikal kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi memastikan kestabilan bekalan asas elektrik terutama dalam memenuhi lonjakan permintaan daripada industri berteknologi tinggi dan pusat data.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyPOWER Corporation, Asdirhyme Abd Rasib berkata, tenaga nuklear boleh menjadi pengganti paling sesuai kepada loji arang batu kerana ia mampu membekalkan tenaga yang stabil, selain menyokong usaha negara mencapai sasaran pelepasan sifar bersih.

 

Beliau berkata meskipun Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyasarkan 70 peratus campuran tenaga masa depan daripada RE menjelang 2050, secara realiti, pergantungan sepenuhnya kepada sumber boleh diperbaharui masih berdepan kekangan khususnya dari sudut geografi di Malaysia.

 

“Kalau kita nak pergi sampai 100 peratus RE sekalipun, berdasarkan kedudukan Malaysia, ia memang sangat sukar terutama di Semenanjung yang sumber RE kita agak terhad,” katanya dalam sesi dialog di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26).

 

Sesi dialog bertajuk “Laluan Sifar Bersih ASEAN: Bolehkah ASEAN menyahkarbon tanpa tenaga nuklear?” itu dipengerusikan oleh Penasihat Utama The eCEOs (M) Sdn Bhd, Raja Datuk Dr Abdul Aziz Raja Adnan.

 

Asdirhyme berkata adalah tidak realistik untuk menutup keseluruhan Semenanjung dengan panel solar dari utara hingga ke Johor dan ini menjadikan tenaga nuklear antara pilihan paling berdaya maju untuk menyokong sistem elektrik negara.

 

Beliau menambah, permintaan elektrik negara pula meningkat dengan ketara dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, menjadikan keperluan kepada sumber tenaga yang stabil atau “firm power” semakin penting dan sangat diperlukan.

 

Menurutnya, Malaysia kini berada pada fasa pertama perancangan tenaga nuklear dengan fokus kepada kajian dasar, kerangka undang-undang dan peraturan, serta pembangunan modal insan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

 

Sementara itu, Huw Williams daripada Unit Pelaburan Nuklear dan Hubungan Pihak Berkepentingan Kewangan, Jabatan Keselamatan Tenaga & Sifar Bersih United Kingdom turut bersetuju bahawa tenaga nuklear kekal sebagai sumber asas penting dalam usaha mencapai sifar bersih.

 

Beliau berkata meskipun pembangunan ladang angin luar pesisir berkembang pesat di United Kingdom, tenaga nuklear masih menyumbang sekitar 15 hingga 18 peratus bekalan elektrik harian.

 

Ia membantu menjamin keselamatan bekalan ketika angin tidak bertiup, selain memenuhi keperluan tenaga tinggi daripada pertumbuhan pusat data.

 

Mengulas keperluan campuran tenaga yang stabil, Ketua Pegawai Eksekutif PT Xpert Synergy Solution, Bob Soelaiman Effendi pula berkata tenaga nuklear merupakan pilihan praktikal bagi negara membangun yang mengejar pertumbuhan ekonomi pesat.

 

Beliau berkata hasil simulasi di Indonesia menunjukkan walaupun penggunaan tenaga boleh diperbaharui dimaksimumkan, negara itu masih berdepan kekurangan bekalan tenaga yang besar jika mahu mencapai tahap kemakmuran lebih tinggi, menjadikan tenaga nuklear satu komponen penting dalam sasaran sifar bersih. – BERNAMA