Rakyat Malaysia Masih Sambil Lewa Terhadap Suntikan Influenza Walaupun Sedar Kepentingannya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rakyat Malaysia Masih Sambil Lewa Terhadap Suntikan Influenza Walaupun Sedar Kepentingannya

Pakar menggesa golongan dewasa berisiko tinggi segera mendapatkan suntikan influenza di klinik swasta atau fasiliti kerajaan sebelum bermulanya musim puncak influenza pertengahan tahun.
Oleh Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) & Tabung Penyakit Berjangkit Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia (MMAF-IDF)

Ramai yang sedar mengenai kepentingan menjaga kesihatan, namun malangnya tindakan yang diambil masih tidak seiring dengan kesedaran tersebut.

 

Walaupun suntikan influenza tahunan terbukti berkesan dalam mencegah penyakit serius dan komplikasi berbahaya, kadar vaksinasi dalam kalangan golongan berisiko tinggi, terutamanya warga emas dan penghidap penyakit kronik, masih berada pada tahap yang amat rendah.

 

Menurut satu tinjauan kebangsaan pada tahun 2025 melibatkan 672 warga emas berumur 60 tahun ke atas yang dijalankan secara kolaboratif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysian Influenza Working Group (MIWG) dan universiti terkemuka, sebanyak 74% responden sedar tentang bahaya influenza dan 76% mempunyai pandangan positif terhadap vaksinasi.

 

Namun realitinya, hanya 29% pernah mengambil vaksin, dan hanya separuh daripada jumlah kecil itu yang konsisten mendapatkannya setiap tahun.

 

Sempena Hari Imunisasi Kebangsaan yang disambut pada 7 Mei 2026, golongan dewasa di Malaysia diseru untuk tidak lagi bertangguh dan mula mengutamakan kesihatan diri melalui vaksinasi influenza.

 

Orang ramai boleh mendapatkan suntikan ini di klinik-klinik swasta (GP) dan hospital swasta.

 

Selain itu, KKM turut menawarkan vaksinasi influenza kepada golongan sasar yang layak di klinik dan hospital terpilih, iaitu individu berumur 50 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik serta warga emas berumur 60 tahun ke atas, tanpa mengira status kesihatan.

 

Orang ramai boleh menyemak ketersediaan stok vaksin di fasiliti kerajaan atau membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

 

Mengapa Vaksinasi Influenza Itu Penting?

Profesor Dr Zamberi Sekawi, Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), menegaskan bahawa vaksinasi merupakan benteng pertahanan utama bagi golongan berisiko.

 

“Di Malaysia, influenza tidak mengikut musim tertentu seperti di negara beriklim sejuk. Ia menular sepanjang tahun. Ini menjadikan vaksinasi tahunan jauh lebih kritikal untuk mengurangkan risiko jangkitan dan kemasukan ke hospital,” jelas beliau.

 

Profesor Dr Roslina Manap, Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia, turut menekankan bahawa vaksinasi influenza amat penting memandangkan ramai dewasa di Malaysia kini hidup dengan penyakit tidak berjangkit (NCD).

 

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 menunjukkan 68% warga emas berumur 60 tahun ke atas menghidap sekurang-kurangnya dua penyakit tidak berjangkit (NCD), manakala kira-kira 30% menghidap ketiga-tiga penyakit utama: kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi.

 

“Keadaan ini meletakkan mereka pada risiko yang jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, pesakit jantung menghadapi risiko kematian berkaitan influenza sehingga lima kali lebih tinggi, manakala penghidap diabetes tiga kali lebih berisiko meninggal dunia.

 

"Atas sebab itu, ramai pakar menasihatkan supaya vaksinasi dianggap sebagai sebahagian daripada pengurusan rutin penyakit kronik, bukannya pilihan tambahan,” tegas beliau.

 

Melindungi Kualiti Hidup Warga Emas

Sejajar dengan status Malaysia yang bakal menjadi negara tua, perlindungan terhadap warga emas menjadi semakin penting.

 

Profesor Tan Maw Pin, Mantan Presiden Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM) menjelaskan bahawa faktor usia melemahkan sistem imun, menyebabkan warga emas lebih sukar untuk sembuh.

 

Data daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menunjukkan satu daripada tiga warga emas berumur 65 tahun ke atas yang dijangkiti influenza mengalami kesan buruk, sama ada dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau meninggal dunia dalam tempoh setahun akibat komplikasi.

 

“Jangkitan serius bukan sahaja menjejaskan fizikal, malah mengganggu emosi dan kewangan. Vaksinasi tahunan adalah langkah paling mudah dan terbaik untuk mengekalkan kekuatan serta kualiti hidup mereka,” kata beliau.

 

Beliau turut meluahkan harapan agar akses kepada vaksinasi influenza terus diperluaskan kepada semua warga emas pada masa hadapan, sambil menyifatkannya sebagai satu pelaburan bermakna untuk kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang.

 

Kempen Bersama

Kempen ini merupakan usaha bersama oleh Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) dengan kerjasama Malaysian Medical Association Foundation – Infectious Diseases Fund (MMAF-IDF).

 

Layari laman web Act of Love (AOL) di http://actoflove.ifl.my untuk maklumat lanjut dan sumber mengenai perlindungan warga emas daripada influenza. - DagangNews.com