KUALA LUMPUR 4 Jun — MISC Berhad dilihat berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat awal daripada rantaian besar nilai pengurusan karbon global di Eropah, menurut analisis MBSB Research.
Tambah firma penyelidikan tersebut, peluang itu terbuka luas ketika benua itu mempercepat agenda penyahkarbonan industri serta pasaran penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) berkembang pesat.
Katanya, perkembangan terbaharu itu dipacu pemeteraian kontrak kedua pajakan jangka panjang (TCP) dengan Northern Lights JV DA (NLJV) bagi kapal pengangkut karbon dioksida cecair (LCO2) baharu.
"Kontrak 10 tahun ini mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan MISC menguruskan aset maritim dan memenuhi permintaan pengeluar industri Eropah mengurangkan pelepasan karbon," kata MBSB Research.
Kumpulan berkenaan ujarnya, kini bukan sekadar pengangkut bahan api fosil tradisional, sebaliknya mula beralih menjadi pemain penting dalam peralihan tenaga hijau menerusi pengangkutan LCO2.
Jelasnya, kemasukan awal syarikat tersebut ke dalam pasaran LCO2 berpotensi memberi kelebihan daya saing kepada kumpulan itu apabila industri pengurusan karbon berkembang pesat pada masa hadapan.
Walaupun prospek jangka panjang MISC dilihat positif, MBSB Research mengingatkan terdapat beberapa cabaran termasuk kerumitan teknikal pengangkutan LCO2 memerlukan sistem pengurusan lebih canggih.
Artikel berkaitan: MISC, K LINE peroleh kontrak kedua bina kapal pengangkut karbon daripada Northern Lights

"Selain itu, operasi projek bergantung kepada kelancaran kemudahan penangkapan karbon di peringkat huluan dan kemudahan penyimpanan karbon milik NLJV di peringkat hiliran," kata firma tersebut.
Di samping itu ujarnya, LCO2 terdedah turun naik harga, tetapi risiko komersial dianggap terkawal memandangkan NLJV disokong syarikat tenaga gergasi dunia iaitu Shell, Equinor dan TotalEnergies.
Dari sudut kewangan, MBSB Research menjangka impak hasil MISC kekal minimum kerana perbelanjaan modal hanya dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan kapal dalam dua hingga tiga tahun akan datang.
Berdasarkan kadar sewaan harian dianggarkan AS$50,000 (RM200,114) sehari, sebuah kapal LCO2 saiz sederhana berupaya menjana pendapatan RM35 juta hingga RM50 juta setahun apabila mula beroperasi.
"Namun begitu, sumbangan kepada hasil teras kumpulan berkenaan dijangka mungkin kurang daripada 1.5%, berbanding buku tempahan semasa syarikat tersebut yang bernilai RM12.3 bilion," jelasnya.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan MISC sedia ada serta mengulangi saranan 'beli' terhadap saham MISC dengan harga sasaran (TP) RM9.22 sesaham. - DagangNews.com








