Pikas: 230,090 pekerja sektor pembuatan terima dos pertama | DagangNews Skip to main content

Pikas: 230,090 pekerja sektor pembuatan terima dos pertama

Pikas

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Seramai 230,090 pekerja dalam sektor pembuatan telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) setakat hari ini.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, jumlah berkenaan melibatkan 14,933 syarikat yang berdaftar melalui program vaksinasi berkenaan.

 

"Sebanyak 14,933 syarikat telah berdaftar di dalam #PIKAS dan lebih 230,000 pekerja sektor pembuatan telah menerima dos pertama vaksin #COVID19," jelas MITI dalam satu ciapan di laman Twitternya hari ini.

 

Pikas merupakan sebuah kolaborasi strategik seumpamanya di antara pihak awam dan swasta yang berfokus untuk mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan pekerja di dalam sektor pembuatan.

 

.

 

Mula dilancarkan pada 16 Jun 2021, program berkenaan mampu mewujudkan persekitaran pekerjaan yang selamat dan kondusif untuk pekerja di dalam sektor berkenaan.

 

Melalui Pikas, kerajaan akan menyediakan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan membiayai dan menguruskan PPV, sekali gus mengurangkan kos pentadbiran pemberian vaksin yang perlu ditanggung kerajaan. 

 

Bagi perkembangan vaksinasi di Malaysia, jumlah kumulatif pemberian dos vaksin meningkat kepada 15.07 juta setakat semalam.

 

Jumlah berkenaan terdiri daripada 10.3 juta penerima dos pertama dan 4.7 juta yang menerima dos kedua.

 

Bagi peratusan populasi keseluruhan pula, Malaysia merekodkan populasi divaksinasi sebanyak 31.5% bagi dos pertama dan 14.6% bagi penerima dos kedua. - DagangNews.com