MoF sahkan lapangan terbang Subang tidak dijual | DagangNews Skip to main content

MoF sahkan lapangan terbang Subang tidak dijual

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada mana-mana pihak.

 

Malah, katanya, hartanah lapangan terbang adalah dianggap sebagai aset strategik kerajaan. 

 

"Sehubungan itu, Kementerian Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara Kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada 2009. 

 

MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut, jelas Kementerian Kewangan.

 

"Setakat ini, MAHB masih merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

 

"Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn. Bhd. bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

 

"Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah," jelasnya.

 

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini.

 

Tegasnya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian. - DagangNews.com