Definisi ‘Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah’ menurut perspektif Bahasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 5 April 2024

Definisi ‘Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah’ menurut perspektif Bahasa

 

 

 

‘Al-qawa’id al-fiqhiyyah’ adalah suatu disiplin ilmu dalam bidang pengajian syariah yang perlu dipelajari dan penting untuk setiap individu yang berkecimpung dalam bidang hukum-hakam atau kefatwaan.

 

Ilmu ‘al-qawaid al-fiqhiyyah’ adalah antara ilmu terpenting dalam bidang syariah untuk membantu para mujtahid, fuqaha, mufti atau sarjana hukum dalam mengeluarkan hukum bagi pelbagai permasalahan termasuk isu-isu kontemporari yang tidak memiliki nas yang khusus.

 

Perkataan ‘al-qawa’id al-fiqhiyyah’ (kaedah fiqh) merupakan satu istilah yang terdiri daripada dua patah perkataan iaitu ‘al-qawa’id’ dan ‘al-fiqhiyyah’.

 

Menurut ilmu ‘nahu’ (tatabahasa Arab), istilah ini merupakan susunan perkataan dari jenis ‘murakkab idafi’ iaitu yang terbina hasil daripada ‘idafat sifat’ kepada sesuatu yang disifatkan (mawsuf).

 

Perkataan ‘al-qawa’id’ merupakan kata ‘jamak’ (plural) daripada perkataan ‘al-qa’idah’ iaitu kata ‘mufrad’ (singular). Secara literal, perkataan ‘al-qa’idah’ jika dirujuk di dalam bahasa Arab bermaksud ‘asas’ iaitu asas sesuatu dan asal.

 

Makna ‘asas’ boleh digunakan untuk membawa pengertian yang bersifat ‘hissi’ (boleh dikesan oleh pancaindera) seperti asas atau tapak rumah (qawa’id al-bayt) dan juga yang bersifat atau berbentuk perkara seperti asas agama (qawa‘id al-din).

 

 

irsyad

 

 

Kedua-dua contoh tersebut dapat difahami berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim a.s bersama-sama Nabi Ismail a.s. meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 127)

 

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat (terhadap agama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan (rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya, lalu bumbung (bangunan itu) jatuh menimpa ke atas mereka, dan mereka pula didatangi azab kebinasaan dari arah yang mereka tidak sedari.” (Surah al-Nahl: 26)

 

Manakala menurut para fuqaha, perkataan ‘al-qawaid’ kebiasaan diberikan kepada dua makna iaitu ‘hukum yang digunakan secara majoriti (aghlabi / akthari) yang meliputi kebanyakan cabang-cabangnya supaya diketahui akan hukumnya.

 

Maka kedua pula ialah perkara-perkara menyeluruh (kulli) yang mengandungi atau merangkumi pecahan-pecahan atau perkara juzuk di bawahnya.

 

Seterusnya, perkataan ‘al-fiqhiyyah’ pula adalah berasal daripada pekataan ‘al-fiqh’ yang bermaksud faham. Perkataan ‘al-fiqh’ dirangkaikan dengan huruf ‘ya al-nisbah’ iaitu huruf ‘ya’ yang berfungsi untuk menjeniskan atau membangsakan sesuatu makna perkataan.

 

Perkataan ‘al-fiqh’ menurut bahasa membawa maksud kefahaman, keilmuan, kepintaran dan juga kebijaksanaan (al-fahm / al-‘ilm). Maksud tersebut adalah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis berikut.

 

 

irsyad

 

 

Sabda Nabi SAW sebagai doa kepada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud: “Ya Allah, berikanlah kepadanya kefahaman dalam agama.” (Riwayat al-Bukhari, no.143 dan Riwayat Muslim, no.2477)

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.” (Surah al-Kahfi: 93)

 

Manakala perkataan ‘al-fiqh’ menurut istilah pula terdapat pelbagai maksud yang diberikan oleh ulama.

 

Pertama, kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mendefinisikan sebagai ilmu-ilmu berkenaan hukum-hakam syari’ah yang bersifat amali, yang diambil daripada dalil-dalil syar’iy yang terperinci.

 

Kedua, menurut al-Ghazali, ilmu al-fiqh adalah suatu ilmu syariah (undang-undang Allah) yang bersangkut paut dengan pengetahuan furu` (cabang) agama. Ia juga merupakan suatu ilmu yang menghasilkan peringatan (al-indhar) dan takut (al-khawf) kepada Allah. Bukanlah fiqh itu [hanya terhad kepada] soal talak, pembebasan hamba (al-`itq), al-li’an, pesanan barang (al-salm) dan sewa-menyewa (al-ijarah), kerana yang demikian itu tidak membuahkan peringatan dan takut kepada Allah.

 

Ketiga, al-Imam al-Baidhawi dalam kitabnya Minhaj al-Usul mendefinisikan fiqh dari sudut istilah ialah ilmu berkenaan hukum-hakam syarak yang bersifat amali atau praktikal yang diambil dari dalil-dalil tafsili (bersifat juz’i).

 

Keempat, pengetahuan berkenaan hukum-hukum syara’ ini adalah berdasarkan kepada proses ijtihad.

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah makna ‘al-qawa’id al-fiqhiyyah’ menurut perspektif ‘murakkab idafi’ (susunan perkataan yang saling menyandar) yang telah dikupas satu persatu makna perkataan ‘al-qawa’id’ dan ‘al-fiqhiyyah’ terlebih dahulu. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags