IPO saham Aurelius Technologies Berhad terlebih langganan sebanyak 20.27 kali | DagangNews Skip to main content

IPO saham Aurelius Technologies Berhad terlebih langganan sebanyak 20.27 kali

Kilang Aurelius Technologies Berhad di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis – Saham-saham Aurelius Technologies Berhad (ATech) mencatatkan lebih langganan sebanyak 20.27 kali sebelum penyenaraian Kumpulan itu di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

 

Pengarah Eksekutif dan CEO Kumpulan Aurelius Technologies Berhad, Lee Chong Yeow berkata, pihaknya begitu menghargai keyakinan para pelabur terhadap ATech, prospek perniagaan dan perancangan masa hadapan.

 

‘’Perjalanan kami untuk menjadi Penyedia Rumusan Sehenti Perkhidmatan Perkilangan Elektronik (EMS) begitu panjang dan kini membuahkan hasil.

 

“Sebagai penyedia EMS, kami terdorong oleh maklum balas hebat ke atas IPO yang memberi petunjuk bahawa sentimen pasaran adalah positif untuk momentum pertumbuhan ekonomi terus berkembang, yang penting bagi keseluruhan prospek masa hadapan industri elektrik dan elektronik,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

ATech mahu menjana RM104.73 juta daripada proses IPO tersebut. Daripada hasil tersebut, sebanyak RM40 juta akan Kumpulan gunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu, RM29.52 juta bagi pembayaran balik pinjaman, RM28.13 juta bagi modal kerja dan RM7.09 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

“Memandang ke hadapan, perancangan perluasan kami akan melonjakkan pertumbuhan kepada perniagaan Kumpulan,’’ jelas Lee.

 

Menurutnya, ini juga adalah sebahagian strategi untuk meningkatkan perkilangan komponen semikonduktor ATech dan menaik taraf fasiliti perkilangan dengan teknologi Industri 4.0.’


 

Lee Chong Yeow
                                       Lee Chong Yeow

 


IPO tersebut merangkumi penerbitan sehingga 103,870,000 Saham IPO merangkumi:

  1. Penawaran institusi sehingga 80,961,000 Saham IPO untuk institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada harga institusi yang akan ditetapkan secara cabutan (harga institusi); dan

     
  2. Penawaran runcit sebanyak 22,909,000 Terbitan Saham untuk para pengarah dan kakitangan ATech yang layak dan orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan rakyat Malaysia pada harga runcit RM1.36 satu saham terbitan (Harga Runcit), dibayar secara penuh semasa memohon dan tertakluk kepada pemulangan baki beza harga antara harga runcit dan harga akhir jika berlaku harga akhir lebih rendah berbanding harga runcit.
     

Susulan daripada selesainya proses cabutan di bawah Penawaran Institusi oleh ATech, Harga Institusi ditetapkan pada RM1.36 sesaham IPO. Sewajarnya, harga akhir runcit bagi Saham Terbitan di bawah Penawaran Runcit juga ditetapkan pada RM1.36 sesaham Terbitan (Harga Akhir Runcit).

 

Oleh kerana Harga Akhir Runcit bersamaan dengan Harga Runcit RM1.36 sesaham Terbitan, maka tiada pemulangan akan dilakukan bagi pemohon yang berjaya, di bawah Penawaran Runcit.

 

Sebanyak 14,253 permohonan bagi 380,958,800 Saham Terbitan dengan nilai sebanyak RM518,103,968.00 telah diterima daripada orang awam Malaysia bagi 17,909,000 Saham Terbitan yang boleh dipohon oleh orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 20.27 kali.

 

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,399 permohonan untuk 140,000,100 Saham Terbitan telah diterima mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 14.63 kali. Untuk bahagian orang awam, sejumlah 6,854 permohonan untuk 240,958,700 Saham Terbitan diterima yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 25.91 kali.

 

Permohonan sebanyak 5,000,000 Saham Terbitan menerusi Borang Permohonan Merah Jamu telah dilangganan sepenuhnya.

 

Untuk penawaran Institusi, Penerbit dan Penaja Jamin Tunggal telah mengesahkan bahawa sebanyak 80,961,000 Saham IPO yang ditawarkan kepada institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada harga institusi, telah dilanggan sepenuhnya.

 

BERITA BERKAITAN: Aurelius Technologies Bhd lancarkan prospektus untuk penyenaraian di Papan Utama



Maybank Investment Bank Berhad merupakan Penasihat Prinsipal bagi IPO, serta Penerbit dan Penaja Jamin Tunggal.

 

Penyenaraian ATech di Papan Utama Bursa Securities dijadualkan pada 16 Disember 2021. – DagangNews.com