KUALA LUMPUR 17 Julai – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk tetap meneruskan pelaksanaan tarif air baharu yang berkuat kuasa 1 Julai lalu selepas mengambil kira keperluan jangka panjang bagi memastikan bekalan air negeri itu kekal mencukupi dan berdaya tahan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk penangguhan pelaksanaan tarif baharu hampir setahun walaupun mekanisme baharu itu sepatutnya dilaksanakan pada 30 Julai 2025.
Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini memberi ruang kepada pengguna dengan menangguhkan pelaksanaan sehingga 1 Julai 2026, namun penangguhan lebih lanjut tidak lagi boleh dilakukan kerana ia akan menjejaskan keupayaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membiayai projek-projek penting berkaitan keselamatan bekalan air.
“Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan tarif baharu sehingga 1 Julai tahun ini bagi memberi lebih banyak masa kepada pengguna, walaupun ia sebenarnya boleh dikuatkuasakan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Jelajah CM Chow di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam hari ini.
Chow berkata, pelaksanaan tarif baharu itu dijangka menjana tambahan hasil sekitar RM20 juta setahun kepada PBAPP, yang akan digunakan bagi menyokong pelbagai projek pengukuhan bekalan air di Pulau Pinang.
Beliau berkata, PBAPP memerlukan perbelanjaan modal yang besar, hampir RM2 bilion, bagi melaksanakan projek keselamatan bekalan air, selain projek mendapatkan bekalan air dari Perak yang turut memerlukan pelaburan bernilai berbilion ringgit.
Menurutnya, mekanisme penetapan tarif air ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan diguna pakai oleh semua negeri, dengan operator air dibenarkan memohon semakan tarif setiap tiga tahun berdasarkan kos operasi serta keperluan pembangunan.

Beliau menjelaskan, walaupun kadar tarif baharu telah dilaksanakan, pengguna domestik di Pulau Pinang masih menikmati kadar yang lebih rendah berbanding kos sebenar pengeluaran air kerana adanya sistem subsidi silang daripada pengguna bukan domestik seperti sektor industri dan komersial.
“Kos sebenar membekalkan air kini melebihi RM1 bagi setiap meter padu, tetapi dengan kadar baharu ini pengguna domestik hanya membayar sekitar 65 sen. Pengguna industri dan komersial membayar lebih tinggi dan secara tidak langsung membantu memberi subsidi kepada pengguna domestik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, pelaksanaan tarif baharu itu penting bagi membolehkan syarikat berkenaan memperoleh dana untuk projek-projek segera di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030).
Beliau berkata, sebarang penangguhan lagi akan melambatkan proses mendapatkan pembiayaan bagi projek yang dirancang, termasuk pembinaan loji rawatan air baharu di Empangan Mengkuang dan Sungai Perai, kerja naik taraf Loji Rawatan Air Sungai Dua serta pembangunan infrastruktur paip Macallum-Bukit Dumbar.
Bagi majoriti pengguna domestik, kesan kenaikan tarif itu adalah minimum. PBAPP menjelaskan kira-kira 82% isi rumah yang menggunakan 35 meter padu air atau kurang sebulan hanya akan mengalami peningkatan maksimum sekitar RM0.08 sehari atau RM2.55 sebulan.
Dalam pada itu, pengguna perniagaan yang menggunakan sekitar 500 meter padu air sebulan akan melihat peningkatan bil sekitar RM2.59 sehari atau RM77.70 sebulan.
Kerajaan negeri menegaskan langkah itu diperlukan bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai kapasiti bekalan air yang mencukupi untuk menampung pertumbuhan penduduk, industri serta pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan.- DagangNews.com








