Pekebun kecil bukan kelompok kecil dalam industri sawit, kerajaan bantu tanggung kos MSPO - Noraini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekebun kecil bukan kelompok kecil dalam industri sawit, kerajaan bantu tanggung kos MSPO - Noraini

Noraini di Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil Sawit Daerah Tampin, Negeri Sembilan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Kerajaan memberi jaminan tidak akan membiarkan proses Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi beban kepada pekebun kecil sawit, sebaliknya menyediakan sokongan penuh termasuk menanggung kos pensijilan dan audit bagi memastikan lebih ramai pengusaha kecil memenuhi piawaian kemampanan industri.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kebimbangan berkaitan keperluan menyediakan dokumen, menjalani audit, merekod pengurusan kebun serta kos berkaitan adalah antara perkara yang sering bermain dalam fikiran pekebun kecil apabila bercakap mengenai MSPO.

 

Beliau berkata, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi pekebun kecil yang perlu mengurus kebun setiap hari, justeru proses pensijilan itu dipermudahkan dengan bantuan pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pegawai TUNAS dari peringkat awal sehingga selesai.

 

“Kerajaan menanggung sepenuhnya kos Pensijilan MSPO bagi pekebun kecil persendirian. Yuran audit ditanggung, latihan disediakan dan pegawai MPOB serta Pegawai TUNAS membantu dari awal hingga selesai,” katanya ketika berucap sempena Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil Sawit Daerah Tampin, Negeri Sembilan.

 

MSPO Penting Untuk Pertahan Pasaran Sawit Malaysia

Tambahnya, MSPO bukan sekadar sijil yang perlu diperoleh pekebun kecil, tetapi ia adalah bukti bahawa minyak sawit Malaysia dihasilkan menerusi amalan yang bertanggungjawab dan mematuhi piawaian kemampanan.

 

Beliau berkata, industri sawit negara sering berdepan pelbagai tuduhan dari luar negara termasuk dakwaan berkaitan kemusnahan hutan, pencemaran alam sekitar dan ancaman terhadap hidupan liar.

 

Namun katanya, Malaysia tidak boleh hanya menjelaskan bahawa industri sawit negara diurus dengan baik tanpa menyediakan bukti yang kukuh.

 

t

 

“Kita perlu ada bukti. Di situlah pentingnya MSPO kerana pensijilan ini menunjukkan kebun sawit diurus dengan baik, undang-undang dipatuhi, alam sekitar dijaga dan buah sawit dapat dikenal pasti dari mana datangnya.

 

“Keyakinan pembeli antarabangsa terhadap standard pengeluaran sawit Malaysia penting bagi memastikan pasaran terus terbuka sekali gus melindungi pendapatan pekebun kecil,” katanya.

 

Sehingga 31 Mei 2026, seramai 197,933 pekebun kecil di seluruh negara telah memperoleh pensijilan MSPO, manakala di Negeri Sembilan seramai 4,648 pekebun kecil telah menerima pensijilan tersebut melibatkan kawasan lebih 16,300 hektar.

 

Bagi daerah Tampin pula, seramai 785 pekebun kecil telah mendapat pensijilan tersebut dengan keluasan melebihi 4,100 hektar, namun masih terdapat pengusaha kecil yang belum melalui proses berkenaan.

 

Kebun Kecil, Sumbangan Besar Kepada Industri Sawit

Noraini berkata, walaupun kebun pekebun kecil hanya sekitar dua hingga empat hektar, jumlah keseluruhan kawasan yang diusahakan memberikan sumbangan besar kepada industri sawit negara.

 

Beliau berkata, di Negeri Sembilan sahaja terdapat 5,393 pekebun kecil yang mengusahakan kawasan sawit seluas lebih 21,800 hektar dengan purata pemilikan sekitar empat hektar seorang.

 

t

 

Katanya, sebahagian besar industri sawit negara sebenarnya digerakkan oleh rakyat biasa yang bergantung kepada hasil kebun sebagai sumber pendapatan utama atau tambahan bagi menyara keluarga.

 

“Apabila kita bercakap tentang masa depan sawit, kita mesti bercakap tentang masa depan pekebun kecil. Kerajaan mahu pekebun kecil bukan sekadar mempunyai kebun, tetapi kebun yang mengeluarkan hasil baik dan memberikan pendapatan lebih selesa,” katanya.

 

MPOB Dekati Pekebun Kecil Melalui Program Libat Urus

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 167 Program Kaunter Bergerak dan Hari Bertemu Pelanggan MPOB telah dilaksanakan di seluruh negara bagi memudahkan pekebun kecil mendapatkan maklumat dan bantuan.

 

Di Negeri Sembilan sahaja, sebanyak 14 program telah dianjurkan dengan penyertaan seramai 581 pekebun kecil.

 

Noraini berkata, pendekatan tersebut bertujuan memastikan pekebun kecil tidak perlu mencari maklumat sendiri atau pergi jauh untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan MSPO, lesen, bantuan tanam semula, penyakit tanaman dan teknologi kebun.

 

Beliau berharap pekebun kecil yang hadir ke program tersebut bukan sekadar membawa pulang risalah, tetapi memperoleh jawapan serta perancangan lebih jelas untuk mengurus kebun masing-masing.

 

“Kerjasama antara kerajaan dan pekebun kecil amat penting bagi memastikan industri sawit negara terus kukuh, dihormati serta mampu menghadapi perubahan pasaran dunia,” katanya. - DagangNews.com