Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan lantik Nik Mohd Noor sebagai Setiausaha merangkap CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan lantik Nik Mohd Noor sebagai Setiausaha merangkap CEO

Nik Mohd Noor Nik Kar
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melantik Nik Mohd Noor Nik Kar sebagai Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 17 Julai 2026.

 

EIAC berkata pelantikan itu akan memastikan kesinambungan pentadbiran serta tadbir urus EAIC dalam melaksanakan fungsi dan mandatnya di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

 

“Nik Mohd Noor mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan menerusi perkhidmatannya bersama Jabatan Peguam Negara.

 

“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang (Gred Utama C) dan mengetuai Seksyen Kes-Kes Terkelas, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara dari 2024 hingga 2026.

 

“Terdahulu, beliau pernah berkhidmat di Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara dalam Unit Kontrak dan Kecuaian Perubatan antara 2010 hingga 2017,” kata EAIC dalam satu kenyataan.

 

Sepanjang kerjayanya, beliau turut memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Pengarah Guaman Negeri di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Pengarah Guaman Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pengarah Biro Bantuan Guaman Sarawak serta Pegawai Siasatan di Kementerian Dalam Negeri.

 

EAIC berkata, pengalaman luas Nik Mohd Noor dalam bidang perundangan dan pentadbiran dijangka memperkukuh keupayaan suruhanjaya dalam menjalankan tanggungjawab berkaitan integriti serta pemantauan agensi penguatkuasaan.

 

Pada masa sama, EAIC merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Asliza Ali atas komitmen, kepimpinan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh dua tahun menerajui pentadbiran suruhanjaya sejak 2024. - DagangNews.com