PUTRAJAYA 17 Julai – Kerajaan tidak mempunyai maklumat mengenai sebarang perubahan besar melibatkan pegangan saham asing dalam MMC Port Holdings Bhd, susulan laporan pelantikan pengerusi eksekutif baharu syarikat berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun kerajaan tidak mencampuri urusan pengurusan harian pengendali pelabuhan, sebarang peningkatan pegangan saham asing melebihi had 49% yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi aset strategik negara mesti dirujuk kepada pihak berkuasa.
"Setakat ini kami belum menerima sebarang maklumat mahupun notifikasi daripada pihak syarikat atau pengurusan konsesi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan pasaran mengenai kemungkinan berlakunya perubahan dalam struktur ekuiti MMC Port, selepas pengendali pelabuhan terbesar negara itu dilaporkan melantik bekas ketua pegawai eksekutif DP World, Sultan Ahmed Bin Sulayem, sebagai pengerusi eksekutif syarikat yang baharu.
MMC Port memiliki dan mengendalikan tujuh buah pelabuhan utama di Malaysia, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh MMC Corp Bhd, syarikat persendirian milik ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Mengulas lanjut, Anthony Loke menjelaskan bahawa perjanjian konsesi memperuntukkan MMC Port wajib mengekalkan sekurang-kurangnya 51% pegangan ekuiti milik rakyat Malaysia. Kementerian Kewangan (MoF) serta Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) sentiasa memantau pematuhan syarat tersebut.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa syarikat bebas menentukan barisan kepimpinan mereka sendiri, sambil mengambil contoh beberapa pelabuhan tempatan termasuk PTP yang sememangnya diterajui oleh warga asing sebelum ini.
Terdahulu, agensi berita Reuters melaporkan bahawa Sultan Ahmed, bilionaire dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah mengambil alih jawatan pengerusi eksekutif MMC Port berdasarkan memo dalaman syarikat bertarikh 12 Julai.
Langkah ini menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port, Datuk Azman Shah Mohd Yusof, melepaskan jawatannya serta-merta tanpa sebarang alasan dinyatakan.
Pada Jun lalu, Bloomberg turut melaporkan MMC Port sedang mendekati pembida berpotensi untuk menjual pegangan minoriti ekuiti syarikat, yang dianggarkan bernilai keseluruhan melebihi RM40 bilion, susulan penangguhan rancangan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut. - DagangNews.com








