Rizab minyak global semakin menyusut risiko terbesar ekonomi dunia pada 2H2026, kata AmBank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rizab minyak global semakin menyusut risiko terbesar ekonomi dunia pada 2H2026, kata AmBank

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Julai - Penyusutan rizab petroleum strategik (SPR) global berpotensi menjadi risiko terbesar kepada ekonomi dunia pada separuh kedua 2026 (2H2026), meskipun ekonomi global setakat ini kekal berdaya tahan dalam persekitaran harga minyak yang lebih tinggi dan konflik geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.

 

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli, berkata penampan tenaga yang selama ini membantu mengurangkan gangguan bekalan minyak semakin menyusut, sekali gus meningkatkan risiko sekiranya berlaku kejutan bekalan baharu.

 

"Jika ditanya apakah risiko terbesar yang boleh berlaku pada separuh kedua tahun ini, saya melihat penyusutan rizab petroleum strategik sebagai faktor utama," katanya pada taklimat Prospek Ekonomi Separuh Kedua 2026 anjuran AmBank.

 

Menurut beliau, Rizab Petroleum Strategik Amerika Syarikat (SPR) yang sebelum ini melebihi paras pencetus AmBank sebanyak 350 juta tong ketika konflik bermula kini telah susut kepada sekitar 330 juta tong, manakala rizab petroleum global berada pada paras terendah dalam tempoh beberapa dekad.

 

"Jika difikirkan, kita sebenarnya sedang hidup dengan bergantung kepada aset yang dipinjam," katanya.

 

Walaupun begitu, AmBank masih mengekalkan unjuran asas harga minyak akan kekal pada paras yang boleh diurus, dengan minyak mentah global kini didagangkan sekitar AS$84 hingga AS$85 setong, manakala harga purata bagi tahun ini dijangka mencecah sekitar AS$90 setong.

 

Kestabilan Dasar Pacu Ekonomi Malaysia

Dalam perkembangan lain, Firdaos berkata prospek ekonomi Malaysia dijangka tidak terjejas oleh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana negara terus menikmati kestabilan dasar yang menjadi faktor penting kepada keyakinan pelabur.

 

Menurutnya, sebarang kesan daripada pilihan raya dijangka hanya mempengaruhi sentimen pasaran kewangan seperti pergerakan ringgit dan hasil bon, tanpa memberi impak besar kepada prestasi makroekonomi negara.

 

"Saya tidak fikir ia akan memberi kesan kepada ekonomi dari sudut makroekonomi. Sama ada pilihan raya diadakan lebih awal atau lewat, kesannya lebih tertumpu kepada sentimen pasaran," katanya.

 

Beliau berkata Malaysia kekal menawarkan dasar yang stabil dan boleh dijangka sejak perubahan kerajaan pada 2018, sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik. - DagangNews.com