Touch ‘n Go eWallet, Maxis jalin kerjasama strategik | DagangNews Skip to main content

Touch ‘n Go eWallet, Maxis jalin kerjasama strategik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Touch ‘n Go eWallet dan Maxis hari ini mengumumkan bahawa kedua-dua syarikat itu bekerjasama untuk menyediakan pengalaman pengguna yang lancar untuk pelanggan mereka.

 

Kerjasama ini membolehkan pengguna Touch ‘n Go eWallet melayari kedai dalam talian Maxis untuk membayar bil, membeli-belah produk dan perkhidmatan Maxis dengan tawaran eksklusif dan menaik taraf pelan mudah alih mereka dengan mudah.

 

Ketua Pegawai Komersial TNG Digital Sdn Bhd, Danny Chua berkata, syarikat gembira dapat bekerjasama dengan Maxis. 

 

"Touch ‘n Go eWallet dan Maxis adalah jenama yang berakar umbi dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Kami gembira mempunyai rakan kongsi yang hebat untuk membawa nilai tambah dan mencipta pengalaman yang lebih baik untuk pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Chua, melalui kerjasama itu, pengguna boleh memanfaatkan tawaran mudah alih terkemuka Maxis terutamanya bagi mereka yang merancang untuk menaik taraf perkhidmatan atau membeli telefon mudah alih baharu. 

 

Katanya, pengguna juga boleh memilih cara tanpa tunai dan tanpa sentuh dalam mengurus dan menyelesaikan pelbagai tugas, termasuk membayar bil telefon mereka.

 

Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan Maxis, Patrick Er pula berkata, ia adalah kerjasama hebat antara dua rakan kongsi yang berfikiran sama, terutamanya dalam landskap digital hari ini. 

 

"Dengan menyepadukan perkhidmatan kami ke dalam Touch ‘n Go eWallet, pelanggan kami akan mendapat manfaat dan senang untuk berinteraksi dengan kami pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja yang merupakan tambahan hebat kepada rangkaian luas platform digital kami. 

 

"Ini ialah jenis pengalaman omnichannel yang sangat berkaitan dengan gaya hidup pelanggan kami. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Touch ‘n Go dalam perjalanan yang menarik ini," katanya.

 

Pengguna Maxis akan dapat menggunakan Touch ‘n Go eWallet sebagai pembayaran pilihan dan menikmati proses pendaftaran yang lebih singkat kerana Touch ‘n Go eWallet eKYC (Kenali Pelanggan Anda) akan menggantikan pengesahan TAC untuk tujuan pembayaran. 

 

Maxis ialah syarikat telekomunikasi pertama yang mempunyai kerjasama strategik dalam aplikasi yang melangkaui tambah nilai prabayar dan pembayaran bil pascabayar. 

 

Sebagai memperingati pelancaran itu, pengguna akan menikmati pulangan tunai RM20 untuk pendaftaran Hotlink Postpaid, Maxis Postpaid, Normal dan Zerolution Contract. - DagangNews.com