Reservoir Link raih kontrak kedua daripada Petronas bagi tahun ini | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link raih kontrak kedua daripada Petronas bagi tahun ini

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Reservoir Link Energy Berhad menerima surat anugerah (LOA) daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. untuk kontrak keduanya daripada Petronas tahun ini.

 

Syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga itu berkata, surat anugerah yang diterima anak syarikatnya, Reservoir Link Sdn. Bhd. adalah untuk penyediaan peralatan serta perkhidmatan teknologi baharu termasuk skrin pasir tahan hakisan Boron EaziGoFlo dan perkhidmatan berkaitan kepada Petronas Carigali.

 

Reservoir Link berkata,menerusi kontrak selama 12 bulan itu, anak syarikatnya akan menyediakan teknologi skrin pasir dan perkhidmatan berkaitan, termasuk kakitangan, produk dan peralatan, secara "call-out".

 

Katanya, perkhidmatan itu merangkumi dan tidak terhad kepada memasang dan membuat aksesori skrin pasir serta menjalankan ujian makmal kelayakan, seperti ujian hakisan skrin, ujian kekuatan tegangan dan ujian sifat mekanikal.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, kumpulan itu telah berkembang dengan agak baik sepanjang 2022 selepas berjaya beberapa kontrak selain perkembangan lain termasuk perpindahannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Jun 2022.

 

"Hasil usaha gigih pasukan untuk mendapatkan projek utama itu, pihak kami akan berusaha menyediakan nilai berterusan.

 

"Kami akan menyediakan perkhidmatan pelanggan terbaik bagi menyampaikan kerja-kerja berkualiti dan konsisten kepada pelanggan bagi mengkuhkan keduduan dalam industri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Reservoir Link berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan sepanjang tempoh kontrak. - DagangNews.com