TNB percepatkan pelaburan BESS manfaat kenaikan permintaan elektrik 5.4% pada 2026, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB percepatkan pelaburan BESS manfaat kenaikan permintaan elektrik 5.4% pada 2026, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 JulaiTenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak mempercepatkan pelaburan dalam sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan pengukuhan rangkaian grid, menurut MBSB Research.

 

Langkah itu ujarnya, memastikan ia memenuhi jangkaan pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 5.4% pada 2026, selain memanfaatkan sepenuhnya perkembangan pesat tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Kapasiti grid semasa katanya, masih ada ruang untuk menyerap banyak penjanaan tenaga solar, namun peningkatan itu perlu diseimbangkan dengan pembangunan BESS bagi memastikan kestabilan bekalan.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham TNB dengan harga sasaran (TP) RM16.40 sesaham disokong prospek pertumbuhan permintaan elektrik yang kekal kukuh," tambah MBSB Research.

 

Menurutnya, pelaksanaan mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) turut mengukuhkan profil pendapatan apabila membolehkan kos dipulihkan lebih pantas.

 

Mengenai sesi lawatannya ke BESS Santong di Dungun, Terengganu, ia memuji projek berkenaan berjaya disiapkan lebih awal dalam tempoh hanya 309 hari, dalam keadaan tanah berpaya di lokasi tapaknya.

 

TNB_DagangNews2026

 

Penggunaan teknologi moden kata MBSB Research, membolehkan TNB menstabilkan voltan dan frekuensi grid secara proaktif serta bertindak balas pantas apabila berlaku ketidakseimbangan bekalan.

 

"Sistem grid di Semenanjung Malaysia kini mampu menyerap 6GW kapasiti solar berbanding kira-kira 4.5GW ketika ini, namun setiap tambahan 1GW memerlukan sekitar 500MW kapasiti BESS," jelasnya.

 

Keadaan itu sekali gus menjadikan pelaburan dalam penyimpanan tenaga sebagai komponen penting bagi menyokong sasaran peralihan tenaga negara, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama.

 

MBSB Research turut menyifatkan Kompleks Jana Kuasa Kenyir di Terengganu sebagai aset strategik bukan sahaja kapasiti penjanaan hidro sebanyak 665MW, malah peranannya dalam pelbagai fungsi.

 

Pada masa sama, Program 'Hydro Life Extension Program (HLEP)' dijangka memanjangkan jangka hayat operasi Stesen Jana Kuasa Sultan Mahmud sehingga 40 tahun lagi selepas tempoh interim lanjutan.

 

"Prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan terus diperkukuhkan menerusi pembangunan banyak projek bernilai RM1.96 bilion yang dijangka siap pada September 2028," katanya. - DagangNews.com