Petronas Chemicals berpeluang pulih disokong penilaian semula, pelupusan Pengerang Petrochemical – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas Chemicals berpeluang pulih disokong penilaian semula, pelupusan Pengerang Petrochemical – HLIB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai – Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpandangan penurunan harga saham Petronas Chemicals Group Bhd sejak kebelakangan ini telah mewujudkan peluang penilaian semula yang lebih menarik dengan nisbah risiko dan pulangan kini dilihat lebih seimbang.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kejatuhan harga saham tersebut menjadikan risiko penurunan lebih terhad, manakala potensi kenaikan masih terbuka seterusnya meningkatkan daya tarikan kaunter berkenaan kepada pelabur.

 

Sehubungan itu, HLIB menaik taraf saranan ke atas PetChem kepada “Beli” daripada “Tahan” dengan harga sasaran baharu RM5.56, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 37% berbanding RM4.05 sebelum ini.

 

Dalam masa sama, HLIB berkata penilaian semula ini turut disokong oleh beberapa pemangkin utama yang boleh membuka nilai tambahan kepada syarikat dalam tempoh sederhana.

 

“Antaranya ialah cadangan pelupusan 50% pegangan dalam Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd yang berpotensi membuka nilai tersembunyi kepada pemegang saham.

 

“Sekiranya pelupusan itu direalisasikan, ia juga boleh membawa kepada pembayaran dividen khas sekali gus meningkatkan tarikan saham di pasaran,” kata HLIB dalam nota kajiannya.

 

Dari sudut operasi, PetChem merancang untuk melaksanakan sehingga enam projek pertumbuhan organik dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan perbelanjaan modal antara RM1.25 bilion hingga RM3 bilion.

 

Syarikat itu turut menyasarkan peningkatan sumbangan segmen bahan kimia khusus kepada lebih 30% daripada jumlah hasil menjelang tahun 2030 berbanding sekitar 20% pada tahun kewangan 2025.

 

Menurut HLIB, setiap projek yang dirancang dijangka memerlukan pelaburan antara RM250 juta hingga RM500 juta dengan fokus utama kepada pasaran Asia Tenggara yang masih bergantung kepada import dari Eropah.

 

t

 

“Dalam segmen olefin dan derivatif (O&D), harga polyethylene (PE) telah susut sekitar 40% daripada paras tertinggi manakala harga naphtha pula turun lebih tinggi sekitar 47% namun spread PE–naphtha kekal stabil sekitar AS$600 hingga AS$800 setan.

 

“Struktur jualan PetChem juga kekal stabil dengan nisbah 70:30 antara kontrak jangka panjang dan jualan pasaran jangka pendek yang membantu mengurangkan kesan turun naik harga komoditi,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, salah satu pelanggan utama PetChem baru-baru ini telah memperbaharui kontrak bekalan yang menurut HLIB mencerminkan penekanan lebih tinggi terhadap keselamatan bekalan.

 

Bagi segmen baja dan metanol (F&M), harga urea jatuh sekitar 53% susulan penurunan risiko geopolitik dan peningkatan bekalan selepas China melonggarkan sekatan eksport.

 

Bagaimanapun, HLIB menjangkakan harga urea akan kembali pulih ke sekitar AS$500 setan pada separuh kedua tahun kewangan 2026, disokong oleh permintaan bermusim sektor pertanian.

 

Dari sudut operasi, kadar penggunaan kapasiti dijangka lebih rendah pada suku kedua dan ketiga FY2026 berikutan kerja penyelenggaraan di loji ABF, Labuan dan Kertih, sebelum kembali meningkat pada suku keempat.

 

HLIB menjangkakan keputusan kewangan suku kedua FY2026 PetChem akan menunjukkan peningkatan berbanding suku sebelumnya, disokong oleh harga jualan purata yang lebih baik.

 

Walaupun unjuran pendapatan FY2026 diturunkan sebanyak 22% akibat semakan harga urea yang lebih rendah, HLIB mengekalkan pandangan tiada lagi jangkaan kerugian rosot nilai pada FY2026, serta prospek jangka sederhana hingga panjang masih stabil dengan pemulihan dijangka pada FY2027 dan FY2028. - DagangNews.com