Harga minyak mentah global diunjur lebih stabil beri kelebihan kepada syarikat Malaysia - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah global diunjur lebih stabil beri kelebihan kepada syarikat Malaysia - PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 Julai — Syarikat minyak dan gas (O&G) Malaysia dijangka terus meraih faedah harga minyak mentah yang kekal pada paras menguntungkan, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Tambahnya, mereka hanya perlu berdepan dengan cabaran ketidaktentuan geopolitik, serta proses pemulihan bekalan global yang dijangka mengambil masa sebelum keadaan inventori benar-benar kukuh.

 

Justeru, ia mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor O&G serta menurunkan unjuran harga minyak mentah Brent bagi 2026 kepada purata AS$83 (RM339) setong berbanding jangkaan sebelum ini.

 

"Pembukaan semula Selat Hormuz selepas sekatan 111 hari menyebabkan premium risiko perang dalam harga minyak semakin menyusut, menyaksikan bekalan kembali memasuki pasaran," jelas PublicInvest.

 

Menurutnya, bagi tempoh separuh kedua 2026, harga Brent dijangka bergerak sederhana dengan andaian perjanjian sementara itu dipatuhi, dan tiada konflik baharu di Timur Tengah mengganggu pasaran.

 

Firma itu namun berpandangan harga minyak tidak mungkin kembali ke paras sebelum perang dalam masa terdekat kerana trafik kapal tangki belum normal dan beberapa fasiliti memerlukan kerja pemulihan.

 

minyak dan gas_DagangNews2026

 

PublicInvest berkata, harga minyak yang rendah memberi kesan kepada syarikat huluan, dan Hibiscus Petroleum Berhad kekal menjadi pilihan utama sektor kerana pendedahan langsung kepada isu harga.

 

"Unjuran keuntungan bagi FY26 dikekalkan tetapi unjuran hasil FY27 dan FY28 masing-masing kurang sebanyak 29% dan 37%, dengan harga sasaran (TP) turun kepada RM2.80 daripada RM3.35," tambahnya.

 

Ia namun mengekalkan penarafan 'outperform' dan menjangkakan Hibiscus disokong sumbangan projek Brunei MLJ Low Pressure Compressor, UK Teal West serta projek North Sabah SF30 Waterflood.

 

Dalam pada itu, PublicInvest berkata, Dialog Group Berhad dijangka menerima impak lebih sederhana daripada semakan harga minyak memandangkan segmen huluan hanya menyumbang 25% kepada hasilnya.

 

Sehubungan itu, ia mengurangkan unjuran pendapatan Dialog bagi FY27 dan FY28 masing-masing 3% dan 4%, selain menurunkan TP kepada RM2.07 daripada RM2.10, namun mengekalkan penarafan 'neutral'.

 

"Dalam persekitaran semasa, syarikat seperti Hibiscus yang ada pertumbuhan pengeluaran kukuh serta Dialog dengan hasil berulang diyakini kekal di kedudukan baik mengharungi pasaran," katanya. - DagangNews.com