HLIB: Sektor teknologi berdepan cabaran perluaskan kapasiti penuhi pertumbuhan pesat AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB: Sektor teknologi berdepan cabaran perluaskan kapasiti penuhi pertumbuhan pesat AI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 Julai — Permintaan pesat global terhadap kecerdasan buatan (AI) membuka peluang pertumbuhan baharu kepada syarikat teknologi Malaysia, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Katanya, industri semikonduktor kini memasuki fasa pemulihan penuh, dengan pemain tempatan perlu bergerak pantas meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memanfaatkan gelombang pelaburan baharu.

 

Isu bekalan ujarnya, kini menjadi cabaran utama, bukannya kelemahan permintaan, dan ia mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor teknologi susulan kitaran peningkatan industri semikonduktor.

 

"Situasi positif ini menyokong pertumbuhan pendapatan syarikat-syarikat berkaitan dalam tempoh beberapa tahun akan datang memenuhi permintaan tinggi terhadap kuasa pemprosesan AI," jelas HLIB.

 

Perkembangan tersebut menandakan industri global memasuki fasa peningkatan, dengan faktor kekangan kapasiti pengeluaran dan bekalan kini menjadi penghalang utama kepada pertumbuhan sektor itu.

 

Petunjuk awal pemulihan sudah dikesan sejak April 2o26 apabila ia menaik taraf sektor tersebut, manakala Indeks Teknologi Bursa Malaysia melonjak 34% sepanjang tempoh separuh pertama 2026.

 

sektor teknologi_DagangNews2026

 

Bagaimanapun, HLIB percaya kitaran pertumbuhan keuntungan syarikat masih ada ruang berkembang lebih jauh dipacu pemulihan segmen semikonduktor analog yang kini kembali berkembang baik.

 

"Ini juga disokong trend pengalihan rantaian bekalan global China+1 serta peningkatan kandungan semikonduktor dalam kalangan syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT)," tambahnya.

 

Selain itu, pengeluar cip global mempercepatkan pelan perluasan kapasiti, sekali gus meningkatkan penyertaan syarikat pembekal peralatan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor antarabangsa.

 

Dari sudut penilaian, HLIB mengakui kebanyakan saham teknologi kini diniagakan pada paras premium dengan nisbah harga kepada hasil (P/E) hadapan bagi tahun kalendar 2027 melepasi julat sejarah.

 

Namun, firma itu berpendapat prospek kenaikan keuntungan syarikat masih mampu menyokong penilaian semasa, dengan antaranya ia menaik taraf saham SAM Engineering & Equipment Berhad kepada 'beli'.

 

Sebaliknya, ViTrox Corporation Berhad dan SkyeChip Berhad pula diturunkan kepada 'pegang' selepas potensi kenaikan harga saham dalam jangka pendek dilihat semakin terhad. - DagangNews.com