KUALA LUMPUR 2 Julai – Penyedia perkhidmatan automasi kilang, Stratus Global Holdings Bhd melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga 80 sen sesaham.
IPO berkenaan melibatkan terbitan sebanyak 356.25 juta saham baharu yang akan mengumpul dana kira-kira RM285 juta.
Berdasarkan harga IPO tersebut, Stratus Global dianggarkan mempunyai nilai pasaran sekitar RM1 bilion sebaik sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia.
Menariknya, IPO ini tidak melibatkan sebarang tawaran jualan saham sedia ada yang bermaksud tiada pemegang saham sedia ada yang mengambil peluang untuk menjual atau mendapatkan keuntungan daripada pegangan mereka dalam penyenaraian ini.
Permohonan bagi IPO ini akan ditutup pada 10 Julai sebelum syarikat memulakan dagangan di Bursa Malaysia pada 21 Julai.
Daripada jumlah dana yang diperoleh, kira-kira RM122.6 juta akan digunakan untuk memperluas kapasiti fasiliti pengeluaran syarikat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Sebanyak RM45 juta pula diperuntukkan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memperkukuh keupayaan teknologi dan inovasi produk kumpulan.
Syarikat turut memperuntukkan RM20 juta untuk memperluaskan perniagaan antarabangsa termasuk usaha memperkukuh kehadiran di pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura.
Selain itu, RM82.4 juta akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian serta keperluan pertumbuhan perniagaan.
Baki RM15 juta pula akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian di Bursa Malaysia.
Stratus Global terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan sistem pengendalian bahan automatik peralatan automasi kilang serta rumusan kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan.
Syarikat ini memberi tumpuan kepada industri semikonduktor serta sektor teknologi tinggi yang semakin memacu permintaan terhadap perkhidmatan automasi kilang berteknologi tinggi.
Kumpulan itu turut mempunyai operasi pengeluaran di Bayan Lepas, Pulau Pinang, selain memiliki subsidiari di Amerika Syarikat dan Singapura bagi menyokong keperluan kejuruteraan serta tenaga kerja global.
Menurut prospektus, dana IPO ini akan digunakan untuk mempercepatkan pengembangan kapasiti pengeluaran, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan serta mengembangkan kehadiran antarabangsa bagi merebut peluang pertumbuhan dalam industri semikonduktor global.
UOB Kay Hian (Malaysia) Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








