KUALA LUMPUR 2 Julai – Asia School of Business (ASB) memperkenalkan inisiatif pendidikan eksekutif baharu melalui Bahasa Executive Education Program (BEEP) yang memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan dalam Bahasa Malaysia tanpa mengurangkan standard global latihan pengurusan.
Program itu dibangunkan sebagai sebahagian usaha ASB untuk menggabungkan kecemerlangan pendidikan eksekutif berteraskan bahasa pengantar Inggeris dengan pendekatan lebih bersifat tempatan melalui penggunaan Bahasa Malaysia bagi memenuhi keperluan sektor korporat dan awam di negara ini.
ASB menyifatkan BEEP sebagai kurikulum yang telah direka semula khusus untuk dunia korporat dengan pendekatan lebih praktikal berbanding teori akademik semata-mata.
Program berkenaan menggunakan kajian kes tempatan serta simulasi praktikal bagi memastikan peserta dapat memahami cabaran sebenar organisasi dalam konteks Malaysia secara lebih menyeluruh.
Antara bidang utama yang diberi penekanan termasuk tadbir urus korporat, kepimpinan dan pengurusan, teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), kelestarian serta geopolitik.
“Keperluan untuk menguasai strategi peringkat tinggi dalam Bahasa Malaysia adalah satu kelebihan strategik, khususnya dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta agensi kerajaan.
“Pendekatan ini turut dilihat mampu mengurangkan jurang komunikasi antara perancangan strategik peringkat global dengan pelaksanaan operasi di peringkat tempatan, sekali gus meningkatkan keberkesanan membuat keputusan dalam organisasi.
“Program BEEP juga memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan tindakan iaitu pendekatan yang membolehkan peserta menyelesaikan isu sebenar organisasi sepanjang tempoh latihan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ASB, antara konsep utama yang diketengahkan termasuk “Strategi dalam Bahasa Ibunda”, “Global Rigor, Local Tongue” serta pendekatan “Action Learning Edge” yang digunakan dalam penyelesaian cabaran korporat sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, ASB mencatat pencapaian penting apabila buat pertama kali menyertai ‘Financial Times (FT) Executive Education Custom Rankings’ dan terus mencatat kedudukan ke-94 di peringkat global.
Lebih signifikan, ASB menjadi institusi pertama di Malaysia yang berjaya memasuki penarafan berprestij tersebut yang terus mengukuhkan kedudukan dalam ekosistem pendidikan eksekutif antarabangsa.
Pencapaian itu mencerminkan tahap kepercayaan tinggi daripada rakan korporat pelbagai sektor yang terlibat dalam pembangunan program latihan eksekutif ASB.
ASB berkata penggunaan Bahasa Malaysia dalam pendidikan eksekutif bukan sekadar soal bahasa, tetapi merupakan kelebihan strategik dalam memperkukuh kefahaman serta pelaksanaan keputusan di peringkat organisasi.
“Penguasaan strategi dalam bahasa ibunda membolehkan pemimpin membuat keputusan dengan lebih jelas, pantas dan relevan dengan konteks operasi sebenar organisasi di Malayisia.
“ASB kekal komited untuk memperkukuh pendidikan eksekutif berimpak tinggi yang menggabungkan perspektif global dengan keperluan tempatan,” katanya. - DagangNews.com








