KUALA LUMPUR 2 Julai – Pasaran modal Malaysia perlu dibangunkan secara menyeluruh melalui kerjasama semua pihak dalam ekosistem yang berdaya saing dan menarik kepada pelabur global, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Beliau berkata, usaha meningkatkan daya tarikan pasaran bukan satu proses yang mudah sebaliknya memerlukan fokus berterusan terhadap hasil yang ingin dicapai.
Menurut beliau, dalam merangka hala tuju pasaran modal negara termasuk di bawah Pelan Induk Pasaran Modal (CMP 2026–2030), penekanan tidak hanya diberikan kepada sasaran angka semata-mata, tetapi kepada pembentukan ciri-ciri pasaran yang lebih kukuh, berdaya saing dan menarik kepada pelabur.
Tambahnya, usaha tersebut memerlukan pendekatan seluruh negara yang melibatkan semua pihak termasuk pengawal selia, Bursa Malaysia, syarikat tersenarai, lembaga pengarah serta pelabur institusi.
Kualiti Pasaran Modal dan Asas Struktur Penentu Daya Tarikan
Beliau menjelaskan daya tarikan pasaran bukan hanya bergantung kepada amalan tadbir urus korporat yang baik, tetapi turut dipengaruhi faktor lain seperti kecairan pasaran dan kadar saham bebas diniagakan yang membantu proses penentuan harga lebih efisien.
“Peningkatan daya saing pasaran modal tempatan memerlukan usaha bersepadu bagi meningkatkan kualiti penyenaraian di Bursa Malaysia, termasuk memperluaskan univers pelaburan melalui syarikat yang lebih berkualiti.
“Ekosistem pembiayaan negara perlu diperkukuh melalui pasaran bon korporat dan sukuk bagi menyediakan lebih banyak pilihan pembiayaan kepada syarikat serta peluang pelaburan kepada pelabur.
“Selain itu, pembangunan pasaran modal swasta seperti modal teroka, ekuiti swasta dan kredit swasta perlu dipercepatkan bagi melengkapkan keseluruhan rantaian pembiayaan negara,” katanya ketika berucap pada Persidangan Tadbir Urus Korporat anjuran Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IICM) 2026 hari ini.
Tadbir Urus Perlu Diterjemah Kepada Penciptaan Nilai Jangka Panjang
Dalam aspek tadbir urus korporat, beliau menegaskan pematuhan semata-mata terhadap peraturan tidak mencukupi, sebaliknya ia perlu diterjemahkan kepada penciptaan nilai jangka panjang yang memberi manfaat kepada syarikat dan pemegang saham.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Sekuriti kini sedang meneliti semula Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) bagi memperkukuh fokus lembaga pengarah terhadap penciptaan nilai, pengurusan peruntukan modal serta pemantauan risiko baharu termasuk teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

“Inisiatif seperti MY Value Up Programme yang dilancarkan bersama Bursa Malaysia bertujuan menggalakkan syarikat menyampaikan dengan lebih jelas bagaimana mereka mencipta nilai, mengurus modal, mengukur prestasi dan berkomunikasi dengan pasaran.
“Kejayaan inisiatif tersebut bergantung kepada tindak balas pelabur, khususnya pelabur institusi yang perlu memainkan peranan aktif dalam menilai syarikat, menjalankan pengawasan pasaran dan memastikan pengurusan memenuhi komitmen yang diumumkan,” katanya.
Beliau menegaskan pelabur institusi tidak boleh bersikap pasif kerana mereka menguasai kira-kira 43 peratus dagangan ekuiti di Malaysia dan mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju pasaran serta prestasi syarikat tersenarai.
Dalam masa sama, beliau turut mengaitkan konsep “stewardship” dengan tanggungjawab amanah, termasuk dalam perspektif Islam melalui konsep khalifah serta Maqasid al-Shariah yang menekankan pengurusan sumber secara berintegriti demi manfaat jangka panjang masyarakat.
Kuasa Pasaran dan Tanggungjawab Bersama
Beliau menjelaskan pelabur institusi bukan sekadar memiliki tanggungjawab tadbir urus, tetapi juga merupakan satu bentuk kuasa pasaran yang menentukan syarikat mana yang berkembang, strategi mana yang berjaya serta tingkah laku mana yang akan diberi ganjaran oleh pasaran.
Menurutnya, pelabur institusi perlu memainkan peranan lebih aktif kerana mereka bukan sahaja penyedia modal, tetapi juga pemegang kuasa penting melalui pengundian, penglibatan dengan syarikat serta tindakan menegur kelemahan pengurusan.
“Suruhanjaya Sekuriti berpandangan disiplin pasaran tidak boleh bergantung kepada pengawalseliaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh tindakan pelabur institusi sebagai penjaga pasaran yang bertanggungjawab.
“Syarikat perlu memberi fokus kepada penciptaan nilai jangka panjang serta komunikasi yang jelas dan bertanggungjawab kepada pasaran, manakala pelabur institusi perlu bertindak sebagai penjaga aktif yang menilai, memberi tekanan konstruktif dan menghargai prestasi baik,” katanya. - DagangNews.com








