KUALA LUMPUR 2 Julai — Sektor penjagaan kesihatan di Malaysia diyakini memasuki fasa pertumbuhan lebih teguh sehingga 12% menjelang 2030 didorong pelbagai faktor semasa, jelas Frost & Sullivan.
Firma perunding dan penyelidikan berkata, antaranya peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan perubatan, perluasan operasi pemain sektor swasta dan penggunaan teknologi kesihatan digital.
Industri itu namun berdepan cabaran besar bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua dan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) terus membebankan sistem kesihatan awam negara.
"Malaysia sedang memasuki fasa pertumbuhan dipacu isu struktur jangka panjang, yang membuka banyak peluang bagi penyedia perkhidmatan, farmaseutikal dan teknologi," tambah Frost & Sullivan lagi.
Perkembangan positif itu membolehkan nilai sektor penjagaan kesihatan di seluruh negara ujarnya, dijangka meningkat kepada kira-kira RM158 bilion menjelang 2029 berbanding sebanyak RM74 bilion pada 2022.
Unjuran itu mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11.4%, menunjukkan momentum pertumbuhan secara mampan merentasi keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negara.

Ujar Frost & Sullivan perbelanjaan penjagaan kesihatan ketika ini mewakili 4.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan permintaan dijangka bertambah selari perubahan struktur demografi.
"Antara pemacu utama ialah peningkatan bilangan warga emas apabila Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 dengan 15% daripada penduduk akan berusia 60 tahun ke atas," katanya.
Menurutnya, trend ketara pada 2044 apabila golongan berusia lebih 60 tahun diunjur 21%, manakala yang berusia 65 tahun ke atas meningkat kepada 14% menjelang 2040 berbanding cuma 7% ketika ini.
Frost & Sullivan menambah, perubahan demografi meningkatkan permintaan terhadap rawatan penyakit kronik, penjagaan kesihatan jangka panjang serta perkhidmatan pakar, terutama di hospital swasta.
Pada masa sama ujarnya, NCD terus menjadi cabaran terbesar bagi sektor kesihatan negara dengan anggaran kos ekonomi mencecah RM64.2 bilion setahun atau bersamaan kira-kira 4.2% daripada KDNK.
"Justeru, usaha pengukuhan program saringan awal, pencegahan dan penggunaan teknologi digital perlu dipertingkatkan lagi bagi mengurangkan tekanan kos rawatan dalam jangka panjang," jelasnya.
Sektor penjagaan kesihatan swasta dijangka memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan, sekali gus menyokong prospek pertumbuhan industri sehingga penghujung dekad ini. - DagangNews.com








