KUALA LUMPUR 2 Julai - Strategi penetapan harga munasabah dijangka memacu pemulihan sektor telekomunikasi dengan kesan kepada prestasi kewangan dapat dilihat pada separuh kedua 2026, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat telekomunikasi telah menukar strategi promosi kepada harga munasabah pada separuh pertama 2026, berbanding 'perang harga' sebelum ini, sekaligus menghasilkan persekitaran hasil yang mampan serta pembetulan pasaran.
Strategi harga munasabah menyaksikan syarikat menetapkan harga yang diselarikan dengan lebih banyak tawaran seperti kadar data lebih tinggi, manakala 'perang harga' menyaksikan syarikat berlumba-lumba menurunkan harga pada paras rendah demi menarik pengguna.
Menurut firma penyelidikan itu, strategi harga munasabah membolehkan syarikat telekomunikasi meningkatkan nilai kepada pelanggan tanpa menjejaskan hasil, sekali gus menyokong peningkatan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU).
"Persekitaran penetapan harga yang lebih munasabah menunjukkan sektor telekomunikasi mudah alih Malaysia kini memasuki fasa yang lebih sihat dan lebih menguntungkan," katanya dalam nota penyelidikan.
CelcomDigi Bhd menjadi syarikat pertama memulakan trend tersebut pada Januari apabila meningkatkan kuota data pelan prabayar peringkat permulaan sebanyak 25% dengan kenaikan harga sebanyak 20%.
Langkah itu kemudian diikuti Maxis Bhd menerusi jenama Hotlink yang memperkenalkan pelan pascabayar baharu dengan tambahan kuota data antara 25% hingga 33% pada kenaikan yuran 7% hingga 8%.
Maxis turut menaik taraf pelan prabayar tanpa had peringkat permulaannya dengan menawarkan kelajuan dan kuota yang lebih tinggi pada harga 20% lebih mahal.
U Mobile Sdn. Bhd. turut menyertai strategi tersebut apabila meningkatkan kuota data pelan pascabayar asasnya sehingga empat kali ganda dengan kenaikan yuran sebanyak 18%.
Migrasi Pelanggan Semakin Meningkat
Menurut CIMB Securities, penstrukturan semula pelan yang dilakukan secara berperingkat dijangka memberi impak positif kepada prestasi kewangan syarikat kerana lebih ramai pelanggan akan beralih kepada pelan yang menawarkan nilai lebih tinggi bagi memenuhi keperluan penggunaan data yang semakin meningkat.
Walaupun pelanggan sedia ada masih boleh mengekalkan pelan lama, firma penyelidikan itu menjangkakan manfaat kewangan daripada strategi tersebut akan mula dizahirkan pada separuh kedua 2026 apabila migrasi pelanggan kepada pelan baharu semakin meningkat.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi.
Firma itu turut mengekalkan saranan 'beli' bagi Maxis dengan harga sasaran RM4.35 sesaham, sambil menyatakan saham syarikat itu kini diniagakan pada diskaun 16% berbanding purata sejarah lima tahunnya serta menawarkan hasil dividen FY2026 sebanyak 5.33%.
Bagi CelcomDigi pula, CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM3.65 sesaham.
Menurut firma itu, saham CelcomDigi kini diniagakan pada diskaun 33% berbanding purata lima tahun, selain dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh bagi FY2026 hingga FY2027 hasil sinergi penggabungan yang semakin meningkat serta hasil dividen FY2026 sebanyak 5.47%. - DagangNews.com








