Majuperak holdings lancarkan pembinaan Nexus Residences dengan GDV RM121.68 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majuperak holdings lancarkan pembinaan Nexus Residences dengan GDV RM121.68 juta

SHAH ALAM 16 Ogos - Majuperak Holdings Bhd (MHB) mencatatkan kejayaan penting dengan projek pembangunan hartanah pertamanya di luar Perak, Nexus Residences, dengan jumlah nilai pembangunan kasar RM121.68 juta.

 

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya, Nizran Noordin berkata, hartanah kediaman itu akan dibina oleh anak syarikatnya, Nexusbase Development Sdn Bhd, di atas kawasan seluas 0.89 hektar tanah yang terletak di Seksyen 27 di sini, dan disasarkan untuk siap pada 2026.

 

“Tapak projek terletak secara unik di salah satu daripada beberapa petak terakhir yang terdapat di kawasan berkepadatan tinggi USJ Subang Barat, justeru peluang pelaburan ini tidak boleh terlepas,” katanya pada majlis pecah tanah Nexus Residences di sini hari ini.

 

Beliau berkata, pembangunan kediaman berkepadatan rendah pegangan bebas itu terdiri daripada 153 unit antara 1,309 kaki persegi hingga 5,511 kaki persegi dan berharga daripada RM803,400, dilengkapi dengan konsep dwi kunci yang sesuai untuk penghunian dan pelaburan yang fleksibel sambil memastikan keselamatan yang terbaik.

 

Sementara itu, pengerusi eksekutif Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata penerokaan MHB ke Lembah Klang mencerminkan potensi besar yang menanti syarikat itu akan meluaskan kedudukannya secara strategik dalam sektor hartanah.

 

“Pada April, MHB memperoleh 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Nexusbase Development untuk mengukuhkan lagi perniagaan hartanahnya dan menetapkan nada untuk lebih banyak hartanah dilancarkan dalam jangka pendek dan sederhana,” katanya.

 

MHB mempunyai lebih 1,200 hektar di Perak dan syarikat itu sedang dalam perancangan untuk membangunkan sebuah perbandaran baharu di negeri itu yang akan memastikan ia sibuk untuk sepuluh akan datang tahun, kata Redza Rafiq. - DagangNews.com