Kadar faedah tinggi, kenaikan harga jejaskan jualan kenderaan pada 2023 - penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kadar faedah tinggi, kenaikan harga jejaskan jualan kenderaan pada 2023 - penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Nov - Persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi akan menjejaskan jualan kenderaan pada 2023 di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat. 

 

Penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang berkata, prospek sektor automotif juga akan dipengaruhi dengan kenaikan harga kenderaan sekitar 8 hingga 20% seperti diunjurkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) jika reformasi duti eksais dilaksanakan tahun depan. 

 

Katanya, faktor tersebut akan menyebabkan pembeli lebih berhati-hati untuk membuat sebarang keputusan sekali gus menjejaskan jualan kenderaan pada 2023. 

 

"Walaupun tempahan tertunggak mungkin bertahan sehingga suku pertama 2023, tetapi keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kenaikan kadar faedah akan memperlahankan jumlah jualan.

 

"Kami berpendapat di sebalik penghantaran kukuh dalam jangka masa terdekat, kebimbangan mengenai prospek 2023 yang lebih perlahan boleh terus mempengaruhi sentimen sektor ini," katanya dalam nota kajian. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Pada Oktober 2022, industri automotif tempatan meneruskan momentum jualan positif apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) bulanan kekal melebihi 60,000 unit yang dicapai sejak Ogos lalu.

 

Meskipun prestasi jualan pada bulan tersebut sedikit menurun kepada 61,002 unit, pencapaian itu masih kukuh menuju ke sasaran MAA iaitu 630,000 unit.

 

Untuk tempoh Januari hingga Oktober 2022, industri automotif tempatan merekodkan TIV berjumlah 577,902 unit, hanya 52,098 unit untuk mencapai sasaran MAA.

 

Bagi tahun ini, Khai Xhiang menjangkakan TIV akan mencecah rekod tertinggi sebanyak 700,000 unit, berbanding anggaran 650,000 unit sebelum ini.

 

"Dengan 578,000 unit setakat ini, ia hanya memerlukan jualan kepada purata 60,000 unit dalam baki dua bulan lagi untuk TIV mencapai 700,000 unit. Tiga bulan terakhir ini mempunyai purata 65,400 unit sebulan," jelasnya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan RHB Investment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif walaupun menyemak naik unjuran TIV 2022 lebih tinggi.

 

 

gambar hiasan

 

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Daniel Wong berkata, pesanan tertunggak semasa untuk industri kekal kukuh melebihi 250,000 unit.

 

Katanya, TIV dijangka mencecah 700,000 unit atau 37.6% lebih tinggi berbanding 2021 disokong penghantaran tempahan tinggi dalam tempoh dua bulan akan datang.

 

"Walaupun pemulihan TIV dijangka kukuh sehingga akhir tahun (disokong oleh tempahan tertunggak tinggi), kami masih mengekalkan saranan 'neutral' pada sektor ini, kerana menjangkakan TIV yang perlahan pada 2023," katanya.

 

AmInvestment pula berkata, masalah kekurangan cip dan komponen akan terus berlarutan walaupun pada tahap yang lebih kecil. 

 

"Ini memandangkan rantaian bekalan global telah menunjukkan tanda-tanda reda di tengah-tengah kadar pengangkutan yang menurun," katanya.

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif selepas mengambil kira jangkaan permintaan yang kukuh untuk kenderaan penumpang meskipun persekitaran semasa kekal mencabar berikutan tekanan inflasi yang tinggi. - DagangNews.com