MDEC sasar peluang pelaburan digital RM250 juta menerusi program padanan DEX Connex Indonesia | DagangNews Skip to main content

MDEC sasar peluang pelaburan digital RM250 juta menerusi program padanan DEX Connex Indonesia

Mahadhir Aziz dan Syed Md Hasrin Tengku Hussin bersama wakil syarikat yang terlibat dalam program DEX Connex Indonesia. Gambar FB Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mei - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memadankan lebih 70 syarikat teknologi Malaysia ke Indonesia di bawah program DEX Connex Indonesia yang bertujuan memperluas pasaran mereka melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi di Republik itu.

 

Menerusi inisiatif ini, MDEC menjangkakan dapat mewujudkan peluang eksport digital bernilai RM250 juta yang bakal memberikan sumbangan yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi digital di ASEAN.

 

"Platform DEX Connex ini penting bagi peserta kedua-dua negara untuk melibatkan diri, mengembangkan rangkaian mereka dan mempamerkan kehebatan teknologi Malaysia," kata MDEC dalam kenyataan hari ini.

 

Program ini merupakan usaha bersama melibatkan kedutaan Malaysia di Jakarta, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, MATRADE Jakarta, Malaysia Club Jakarta, HUB.ID, XCION, Digital Hub BSD City dan Sinarmas Land.

 

Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz,  Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Wakil Deputi Investasi Koordinasi, Kementerian Urusan Maritim dan Investasi Indonesia Ferry Akbar Pasaribu dan Pengarah Ekonomi Digital, Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia, Bonifasius Wahyi Pudjianto.

 

mdec
Mahadhir Aziz saksikan pertukaran perjanjian antara syarikat Malaysia dan Indonesia.. 

 

Turut serta ialah pemain industri teknologi dan pelabur-pelabur serantau.

 

Pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat teknologi Malaysia dan Indonesia menjadi sorotan utama program ini merangkumi beberapa komponen penting termasuk penyelesaian dan perkhidmatan ICT, pendekatan peningkatan kemahiran untuk belia dan pembangunan penyelesaian digital berasaskan 3D.

 

Antara syarikat terlibat iaitu ReSkills dari Malaysia dan JCI dari Indonesia, dengan sasaran membantu golongan belia meningkatkan kemahiran, memajukan kerjaya mereka dan meneruskan usaha niaga keusahawanan dengan peluang pembelajaran yang diperakui secara global.

 

Di samping itu, CTAPPS MSC Sdn Bhd bersetuju menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan ICT yang dipertingkatkan kepada PT Primedia Armoekadata Internet, yang memfokuskan untuk meningkatkan penglibatan pelanggan organisasi dan perniagaan Indonesia.

 

MoU itu turut melibatkan penubuhan anak syarikat PT Inovasi Multimedia Indonesia oleh Innoveam Sdn Bhd, dengan pegangan kepentingan sebanyak 70 peratus, sekali gus menandakan penglibatan rasminya sebagai kuasa serantau dalam penyelesaian digital berasaskan 3D untuk aplikasi perindustrian.

 

WAHDAH Technologies Sdn Bhd pula melantik PT Domo Manajemen Grup (Dokter Mobil) sebagai rakan kongsi bengkelnya, bagi menyokong perniagaan kumpulan penyewaan keretanya di seluruh Indonesia.

 

Syarikat teknologi lain termasuk IFCA MSC Bhd dan Five Pillars Hospitality, Bateriku (M) Sdn Bhd dan PT Bateriku Technologies Indonesia, iBiZZCLOUD Sdn Bhd dan PT Andalan Software Indonesia, NEXAGATE dan TELIN, MAP2U Sdn Bhd dan PT Das Map, serta PureTech Global Sdn Bhd dan PT Funtastik Solusi Indonesia. - DagangNews.com