KUALA LUMPUR 22 Julai - Perkhidmatan kargo Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi menggantikan sehingga 79 lori bagi setiap perjalanan tren, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan jalan raya serta risiko kemalangan membabitkan kenderaan berat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebuah tren kargo ECRL yang dilengkapi sehingga 45 gerabak mampu membawa muatan sehingga 3,150 tan dalam satu-satu perjalanan.
Menurut beliau, kapasiti itu jauh mengatasi keupayaan sebuah lori yang secara purata hanya mampu membawa muatan maksimum 40 tan bagi setiap perjalanan.
"ECRL dirancang sebagai infrastruktur pengangkutan kargo yang penting bagi menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang serta Pelabuhan Klang, selaras dengan inisiatif peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel.
"Melalui peralihan sebahagian pergerakan kargo daripada jalan raya kepada rel, perkhidmatan ECRL berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berat di lebuh raya utama, khususnya laluan yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Hasbi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang ingin mengetahui sejauh mana penggunaan ECRL dapat membantu mengurangkan jumlah kenderaan berat bagi meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya.
Keberkesanan bergantung kepada penggunaan industri
Bagaimanapun, beliau berkata, keberkesanan peralihan mod pengangkutan itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk kadar penggunaan oleh industri, struktur tarif yang kompetitif serta tahap ketersambungan rangkaian first-mile dan last-mile.
Katanya, first-mile merujuk kepada proses pengumpulan barangan daripada pengeluar ke hab transit, manakala last-mile ialah penghantaran akhir produk terus kepada pelanggan.
Bagi memastikan ECRL menjadi pilihan utama pengangkutan kargo, kerajaan turut merancang pembangunan pelbagai hab industri di sepanjang jajaran selain pembinaan laluan susur yang menghubungkan terus ke Pelabuhan Kuantan.
"Di sepanjang jajaran ini sudah pasti akan berkembang hab-hab industri, termasuk kilang kenderaan yang telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menggunakan perkhidmatan ini. Semua ini adalah bagi memastikan penggunaan ECRL sepenuhnya," katanya.
24.3 juta tan kargo dijangka beralih kepada rel menjelang 2050
Hasbi berkata, kajian peralihan mod pengangkutan kargo menganggarkan sebanyak 24.3 juta tan kargo setahun berpotensi dialihkan daripada jalan raya kepada rel menjelang 2050.
Menurut beliau, berdasarkan andaian muatan antara 10 hingga 20 tan bagi setiap lori, jumlah itu secara indikatif bersamaan dengan pengurangan kira-kira 3,300 hingga 6,700 perjalanan lori bermuatan setiap hari bagi perjalanan jarak jauh.
"Angka ini merujuk kepada pengurangan perjalanan dan bukannya bilangan lori fizikal kerana lori masih diperlukan bagi penghantaran first-mile dan last-mile," katanya. - Bernama








