Jabatan Perlindungan Data Peribadi siasat Maxis susulan kebocoran data peribadi Khairul Aming | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jabatan Perlindungan Data Peribadi siasat Maxis susulan kebocoran data peribadi Khairul Aming

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 22 Julai – Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) melancarkan siasatan terhadap dakwaan pendedahan tanpa kebenaran maklumat akaun dan bil pelanggan Maxis selepas maklumat tersebut tular di media sosial.

 

JPDP berkata, siasatan itu dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), yang boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan jika didapati wujud ketidakpatuhan.

 

"JPDP sedang menjalankan siasatan di bawah Prinsip-Prinsip Perlindungan Data Peribadi serta Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 berkaitan pengumpulan atau pendedahan data peribadi secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut jabatan itu, tindakan dan penalti yang sewajarnya akan dikenakan sekiranya hasil siasatan mendapati syarikat telekomunikasi berkenaan gagal mematuhi peruntukan akta tersebut.

 

Siasatan berkenaan tercetus susulan kontroversi melibatkan usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming, apabila butiran akaun serta maklumat bil telefon miliknya didakwa dibocorkan di media sosial.

 

MCMC diarahkan menyiasat

Insiden itu mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna di platform Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming, termasuk dakwaan tunggakan sebanyak RM498 serta maklumat berkaitan pembelian digital.

 

Pendedahan tersebut mencetuskan reaksi segera daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan laporan penuh berhubung insiden berkenaan.

 

Kes itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai tahap perlindungan data peribadi pelanggan syarikat telekomunikasi serta keperluan pematuhan yang lebih ketat terhadap peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. - DagangNews.com