FGV Plantations terima saman pemula daripada Multazam Development isu penamatan kontrak pembinaan rumah pekerja | DagangNews Skip to main content

FGV Plantations terima saman pemula daripada Multazam Development isu penamatan kontrak pembinaan rumah pekerja

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mei - FGV Plantations (Malaysia) Sdn Bhd menerima saman pemula daripada Multazam Development Sdn Bhd yang memohon mengetepikan penganugerahan tribunal timbang tara berjumlah RM12.5 juta berhubung pertikaian penamatan kontrak pembinaan rumah pekerja ladang Januari lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV Holdings Berhad berkata, Multazam memfailkan saman pemula terhadap anak syarikatnya, FGV Plantations pada 6 Mei 2024 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Kata FGV, saman pemula itu kemudian diserahkan Multazam Development selaku penuntut kepada peguam cara FGV Plantations pada 7 Mei 2024.

 

"Menerusi saman pemula itu, penuntut (Multazam) memohon relief di bawah Seksyen 37(1)(a)(iv) dan/atau 37(1)(a)(v) dan/atau 37(1)(a)(vi) dan/atau 37(1)(b)(i) dan/atau 37(2)(b)(ii) Akta Abitrasi 2005 dan/atau bidang kuasa sedia ada Mahkamah untuk mengetepikan, sebahagian atau keseluruhannya, Penganugerahan Akhir Tribunal bertarikh 11 Januari 2024," katanya.

 

Jelas FGV, perkara tersebut ditetapkan untuk pendengaran kes menerusi online pada 21 Mei 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat milik FGV dianugerah RM12.6 juta dalam pertikaian penamatan kontrak pembinaan rumah pekerja

 

"Responden (FGV Plantations) hendaklah menentang saman pemula itu yang tidak dijangka mempunyai sebarang kesan operasi atau kewangan material ke atas Responden atau Syarikat.

 

"Pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa berkenaan dengan sebarang perkembangan material berikutnya mengenai perkara ini," ujarnya.

 

Tribunal Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) pada 11 Januari lalu menganugerahkan anak syarikat FGV Holdings Bhd sebanyak RM12.64 juta dalam pertikaian kumpulan perladangan itu dengan syarikat pembinaan, Multazam Development berhubung penamatan kontrak projek perumahan pekerja ladang.

 

Dalam keputusan akhir prosiding timbang tara yang dibawa Multazam Development terhadap FGV Plantations (M) Sdn Bhd, AIAC memutuskan syarikat pembinaan itu membayar FGV Plantations RM12.52 juta.

 

Ini sebagai kos tambahan untuk menyiapkan kerja-kerja Multazam Development dalam projek itu serta kerugian keuntungan FGV Plantations.

 

Di samping itu, Multazam Development juga diperintah membayar 'kos bersih' kepada FGV Plantations sebanyak RM294,000.

 

Pada masa sama, tribunal berkenaan memutuskan FGV Plantations membayar RM86,341 — nilai kerja yang belum dibayar siap ditolak ganti rugi.- DagangNews.com