Belanjawan 2023 : Bantuan, insentif beri manfaat kepada sektor pengguna - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2023 : Bantuan, insentif beri manfaat kepada sektor pengguna - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Feb - MIDF Research menjangkakan sektor pengguna akan terus mendapat manfaat daripada pelbagai bantuan kewangan yang disalurkan kepada rakyat. 

 

Malah, firma itu menjangkakan jualan syarikat berkaitan penggunaan harian (ruji) akan meningkat berikutan beberapa langkah bantuan tunai, subsidi dan inisiatif disediakan untuk golongan B40 dan penjawat awam. 

 

"Bantuan sebegini juga melonjakkan lagi permintaan domestik dan perbelanjaan terhadap barangan keperluan penting," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan hingga RM2,500 bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bergantung pada bilangan anak.

 

Ini sebahagian daripada pembaharuan dilaksanakan bawah Belanjawan 2023 supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR.

 

Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.

 

Sumbangan itu akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.

 

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak manakala RM350 akan disalurkan kepada pesara kerajaan, yang akan dibayar pada April 2023.

 

MIDF Research berkata, dengan pemulihan berterusan ekonomi domestik, perbelanjaan penggunaan swasta juga dijangka meningkat dengan stabil pada 6.1% tahun ini. 

 

Menurutnya, kerajaan menjangkakan ekonomi pada 2023 akan berkembang 4.5%, lebih menyederhana daripada 8.7% tahun lalu dengan permintaan domestik termasuk dasar fiskal mengembang dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

 

"Pemulihan berterusan dalam pasaran buruh, meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan pengukuhan aktiviti pelancongan di tengah-tengah pembukaan semula China akan memacu penggunaan swasta dan permintaan domestik," jelasnya.

 

Bagaimanapun, dalam tempoh jangka pendek, ia menjangkakan faktor luaran akan terus menguasai sentimen pasaran ekuiti terutama kemungkinan mengenai penangguhan sementara kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) jangkaan berlaku kemelesetan. 

 

"Kami menganggap pasaran aset berisiko dan ekuiti khususnya condong ke sisi atau bahkan ke bawah dalam jangka pendek.

 

"Namun, dalam jangka sederhana, kami menjangkakan risiko kembali selepas jangkaan Fed berhenti seketika. Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun ini pada 1,700 mata," katanya. - DagangNews.com