KUALA LUMPUR 30 Mac - Sebanyak 46% daripada responden memaklumkan terdapat seseorang dalam keluarga mereka yang mengalami masalah jantung atau berkaitan kolesterol, menurut kaji selidik The Green Zebras.
Tinjauan bertajuk State of Health of the Nation yang dijalankan bagi pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Novartis Malaysia itu juga menunjukkan sebanyak 42% menjurus kepada kematian.
Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, walaupun mempunyai sejarah keluarga, responden dalam kumpulan itu tidak mengambil sebarang langkah penting untuk mencegah penyakit jantung.
Katanya, walaupun mengamalkan diet yang sihat dan bersenam boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, perlu diingatkan juga bahawa pemeriksaan berkala adalah sama penting.
"Faktor lain seperti umur, jantina, pengurusan tekanan dan keluarga yang mempunyai sejarah kolesterol tinggi juga boleh memberi kesan kepada kesihatan jantung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muruga, pihaknya menggesa rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah keluarga kolesterol tinggi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berjadual bagi mengetahui status kesihatan mereka.
Presiden Syarikat Novartis Malaysia, Mohamed El-Wakil pula berkata, tidak menghairankan mengapa masalah kolesterol tinggi mendahului senarai isu kesihatan berdasarkan keputusan saringan kesihatan.
"Empat daripada 10 orang dewasa Malaysia mempunyai jumlah kolesterol tidak baik yang tinggi, yang disebut sebagai 'hiperkolesterolemia', dalam badan mereka," katanya.
Katanya, kini terdapat terapi baharu yang transformatif tersedia untuk merawat hiperkolesterolemia dengan berkesan dan rakyat Malaysia digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor mereka tentang rawatan terbaik yang sedia ada.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan, 85% rakyat Malaysia berumur antara 40 hingga 60 tahun mendakwa pernah melakukan saringan kesihatan pada masa lalu dan 66% melakukannya setiap tahun .
Tinjauan turut mendapati 7 daripada 10 responden bersenam sekurang-kurangnya sekali seminggu dan 51% mempunyai tabiat pemakanan yang sihat.
Ini merumuskan hampir kesemua (98%) daripada mereka berpendapat bahawa mereka mempunyai kesihatan yang baik atau sederhana.
Di sebalik persepsi optimis terhadap tabiat sihat mereka, tiga perempat daripada mereka yang menghadiri pemeriksaan kesihatan pada masa lalu telah didiagnosis dengan beberapa bentuk Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
Gejala kolesterol tinggi menyumbang 37%, tekanan darah tinggi 29%, diabetes 13%, dan masalah kesihatan lain 10%. - DagangNews.com








