KUALA LUMPUR 30 Mac - Yinson GreenTech (YGT) menjalin kerjasama dengan Kumpulan LHN dari Singapura melalui anak syarikatnya LHN EVCO Pte. Ltd. (LHNEV) untuk membawa hab dan perkhidmatan pengecasan pantas chargeEV ke republik itu.
Majlis menandatangani usahasama yang bakal memberi kemudahan pengecasan rentas sempadan yang mudah dan boleh diakses antara kedua-dua negara itu dimeterai semalam pada majlis pelancaran stesen pengecasan pertama chargeEV di Singapura di Ang Mo Kio Industrial Park.
Menerusi kerjasama itu YGT berkata, kedua-dua pihak akan bersama menyumbang kepada pembangunan infrastruktur sistem pengecasan kenderaan elektrik awam Singapura dengan meneroka lokasi baharu untuk pemasangan stesen chargeEV.
Di bawah perjanjian itu, menurutnya, YGT akan mengendalikan pengkomersialan, perolehan, operasi dan pembangunan infrastruktur pengecasan EV manakala LHNEV akan mengendalikan pemasangan dan penyelenggaraan sistem pengecasan EV serta menyediakan bantuan pelanggan.
“Aplikasi chargEV akan memberi pengguna akses kepada hab chargEV di Singapura serta rangkaian luas 300 tempat pengecasan di Malaysia dengan hanya pengaktifan pembayaran satu langkah.
“Ciri aplikasi lain termasuk penjejakan masa nyata status pengecasan, lokasi stesen pengecasan, analitik dan ganjaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGT Eirik Barclay berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama itu sekali gus membolehkan syarikat membawa teknologi mereka berkembang merentasi sempadan hingga ke negara jiran.
Tambahnya, menerusi kerjasama dengan LHN dalam melancarkan rangkaian pengecasan rentas sempadan pertama itu mereka yakin dapat mengurangkan kebimbangan perjalanan jarak jauh sekali gus menjadikan usaha peralihan kepada kederaan elektrik lebih mudah.
“Pemandu EV dari Singapura dan Malaysia kini akan dapat mengembara dengan lancar merentasi sempadan menggunakan aplikasi chargEV untuk mengakses rangkaian stesen pengecasan pantas dan boleh dipercayai kami yang berkembang pesat,” katanya.
Tambahnya, pengguna di Malaysia juga boleh mengakses pengecas yang baru digunakan di Singapura bermula dengan Ang Mo Kio dengan lebih banyak lokasi di seluruh Singapura akan dibuka pada tahun ini.
Lokasi yang diperuntukkan untuk pembesaran, kataya, termasuk Kallang Bahru, Pusat Beli-belah Bukit Timah, Mount Elizabeth Link dan 43 Keppel Road.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan LHN, Kelvin Lim berkata, kerjasama itu merupakan peluang terbaik untuk mengukuhkan hubungan bersama pihak yang mempunyai haluan yang sama sekali gus memudahkan usaha memperluaskan perkhidmatan mereka.
Menurutnya, hab pengecasan EV itu mewakili portfolio penting dalam pelan hala tuju kumpulan, menjanjikan pertumbuhan mantap portfolio tenaga boleh diperbaharui dengan meluas yang turut merangkumi rangkaian sistem fotovoltaik yang besar.
“Kami terus komited untuk membina Singapura yang mampan untuk generasi masa depan kita sekali gus berada pada landasan yang tepat untuk bersama-sama merealisasikan Pelan Hijau Singapura 2030,” katanya. - DagangNews.com








