VTL udara Pulau Pinang, Singapura bermula 16 Mac 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VTL udara Pulau Pinang, Singapura bermula 16 Mac 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan bersama bagi memperluaskan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara bagi laluan Pulau Pinang ke negara itu mulai 16 Mac 2022 ini.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, inisiatif VTL itu membolehkan pengembara yang lengkap vaksin berkunjung ke Pulau Pinang dan Singapura menggunakan laluan udara dan mereka tidak akan dikenakan kuarantin semasa ketibaan.

 

"Inisiatif VTL ini memainkan peranan penting dalam mengukuhkan laluan udara antara kedua negara jiran dengan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan komersial khususnya dalam memajukan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

"VTL pertama dimulakan di laluan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 November lalu yang berjaya memberi perkhidmatan kepada 82,906 penumpang yang tiba dari Singapura setakat 28 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ka Siong berkata, pelaksanaan VTL antara Pulau Pinang dan Singapura ini bermula dengan empat penerbangan sehari membabitkan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian di kedua-dua negara.

 

"Penjualan tiket penerbangan VTL bermula secepat mungkin dan maklumat lanjut mengenai pra-pelepasan dan syarat kemasukan ke Malaysia boleh diakses di www.imi.gov.my.

"Butiran berkenaan keperluan bagi VTL ke Singapura boleh didapati di https://safetravel.ica,gov.sg," katanya. - DagangNews.com